KUALA LUMPUR – TV AlHijrah sekali lagi memperkukuh peranannya sebagai peneraju kandungan Islamik negara apabila melancarkan Kempen Program Haji 1446H dalam satu majlis rasmi yang berlangsung penuh bermakna hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, dengan kehadiran barisan pengurusan tertinggi TV AlHijrah, ilmuwan, personaliti tanah air serta wakil-wakil rakan strategik.
Mengangkat tema “Menyahut Panggilan-Mu”, kempen kali ini mencerminkan ketaatan, pengorbanan dan kerinduan mendalam setiap insan untuk menjadi tetamu Allah SWT di Tanah Suci.
Menurut Mohd Na’im, pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan susunan program baharu sempena musim haji, sebaliknya satu usaha menyeluruh dalam membentuk perjalanan intelektual dan spiritual seluruh rakyat Malaysia.
“TV AlHijrah berperanan sebagai jambatan nurani menyampaikan bukan hanya visual, tetapi roh dan penghayatan terhadap ibadah agung ini,” katanya.

Beliau berkata, pengisian yang dibawakan oleh TV AlHijrah selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam mengangkat martabat insan melalui kandungan sarat nilai ketuhanan dan kemanusiaan.
Antara program utama yang bakal menghiasi musim haji di TV AlHijrah termasuk Alumni Haji, yang membawakan kisah pengalaman jemaah haji bersama tadabbur ayat-ayat suci al-Quran.
Program ini disiarkan setiap Isnin hingga Rabu jam 6.30 petang. Sementara itu, Labbaikallah 2025, yang menampilkan pengacara dan pelawak tersohor Shamsul Ghau Ghau, akan bersiaran setiap Isnin hingga Khamis jam 9 malam, mengetengahkan kisah dan nostalgia berkaitan haji.
Turut disiarkan ialah 30 Minit Bersama Prof. Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah, yang memberi pengisian ilmu haji secara padat dan mudah difahami setiap Selasa jam 8.30 malam.
Program Kisah Mutawif pula akan menemui penonton setiap Jumaat dan Sabtu jam 9 malam, memaparkan cabaran serta pengalaman mutawif dalam membimbing jemaah di Tanah Suci.
Satu lagi kemuncak kempen ialah siaran khas Munajat Arafah, yang dijadualkan pada Jumaat, 6 Jun 2025, jam 5 petang, menampilkan Profesor Dato’ Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh bersama barisan asatizah terkenal negara.
Selain itu, dokumentari Umrah Yatim Palestin, yang bakal membawa penonton menelusuri perjalanan 750 anak yatim Palestin menunaikan umrah melalui darat, akan ditayangkan pada 7 dan 8 Jun 2025, jam 5.30 petang.
Bagi memperkayakan sisi penceritaan, sebuah telefilem istimewa berjudul “Bilal dan Abah” akan disiarkan pada Ahad, 8 Jun 2025 jam 9 malam.
Telefilem ini menggambarkan ketabahan seorang pemuda OKU dalam menghayati Islam dan cinta terhadap ibadah, dibintangi pelakon terkenal seperti Azhan Rani, Ummi Nazeera, Harun Hashim dan Luqman Hafidz.
Mohd Na’im turut menzahirkan penghargaan kepada TV AlHijrah atas usaha konsisten dalam menyantuni Duyufurrahman seawal bulan Syawal lagi melalui program Interaktif Haji.
Disiarkan secara langsung menerusi TV, TikTok dan Facebook Live, program ini menampilkan Ustaz Harryanto Rizal, Ustazah Ayu Suhana Merican dan Ustazah Yusnah Yusuff, dan telah menerima sambutan luar biasa dalam kalangan rakyat Malaysia yang bersiap menghadapi musim haji.
“Program-program Haji tahun ini bukan sekadar tontonan bermusim, tetapi menjadi pencetus keinsafan, pencambah ilmu dan pembina jiwa.
“Ia bukan sahaja relevan untuk bakal jemaah, tetapi juga untuk seluruh rakyat yang mendambakan ketenangan dan hidayah dalam kehidupan seharian,” katanya.
Statistik prestasi tahun lalu membuktikan kejayaan pendekatan TV AlHijrah. Kempen Haji 1445H mencatatkan lebih 9 juta tontonan, dengan peningkatan syer tontonan sebanyak 40 peratus.
Program seperti Labbaikallah, Munajat Arafah dan Peristiwa Haji mencatat pertumbuhan lebih 40 peratus dalam rating, manakala rancangan baharu Podcast Haji berjaya meraih lebih 2 juta tontonan di platform digital.

TV AlHijrah turut mencatat sejarah apabila muncul antara tiga saluran paling tinggi tontonan dalam kalangan penonton Melayu pada minggu pertama Ramadan, sekaligus menandakan pencapaian mingguan terbaik sejak penubuhannya.
Saluran ini juga merekodkan peningkatan syer tontonan sebanyak 21 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menutup ucapannya, Mohd Na’im yakin Program Haji 1446H anjuran TV AlHijrah akan menjadi antara inisiatif dakwah paling signifikan negara.
Katanya, TV AlHijrah kini tidak lagi sekadar sebuah stesen penyiaran, tetapi telah berkembang menjadi madrasah rohani yang membimbing umat menuju Allah SWT.
Sepanjang tempoh kempen, orang ramai boleh mengikuti pelbagai program menarik menerusi saluran TV AlHijrah, aplikasi AlHijrah Plus, serta platform digital rasmi seperti Facebook, TikTok dan portal AlHijrah Online.
Stesen ini terus kekal komited dalam menyampaikan kandungan yang bukan sahaja mendidik, tetapi membentuk jiwa dan akhlak masyarakat Malaysia secara menyeluruh.