KUALA LUMPUR, 28 Mei 2025 — Gaya kempen politik tanah air kini menyaksikan satu perubahan ketara dengan kemunculan trend baharu: ahli politik bertindak seolah-olah wartawan lapangan, lengkap dengan mikrofon, kamera dan gaya penyampaian ala siaran langsung berita.
Menurut Nik Suryani Megat Deraman, gaya kempen seperti ini semakin mendapat tempat dalam kalangan ahli politik yang ingin kelihatan relevan dan dekat dengan rakyat, terutamanya golongan muda.
“Mereka tampil bertenaga, seperti wartawan yang sedang melaporkan secara langsung. Ada yang buat ‘stand upper’ depan pasar, ada yang serbu penguat kuasa untuk soal isu panas, dan ada juga yang jadi hos podcast sendiri, siap dengan intro muzik dan lighting studio,” katanya.
Tambah beliau, dari sudut visual dan penyampaian, kandungan sebegini memang menarik dan mudah tular. Namun, persoalan utama ialah keberkesanan mesej yang cuba disampaikan.
“Sampai satu tahap, saya pun keliru — ini ahli politik atau wartawan jam 8 malam?” katanya berseloroh.
Fenomena ini dipercayai merupakan usaha ahli politik menyesuaikan diri dengan citarasa generasi muda yang lebih gemar kandungan pantas dan padat di TikTok, IG Reels dan YouTube Shorts.
“Dahulu saya yang menemubual ahli politik, sekarang saya jadi panel jemputan manakala ahli politik pula jadi hos temu bual. Dunia makin terbalik, atau mungkin inilah realiti baharu,” ujar beliau lagi.
Beliau turut mengutarakan kebimbangan terhadap kekaburan sempadan antara media dan politik dalam era digital, yang memungkinkan pengaruh besar terhadap naratif dan persepsi rakyat.
“Politik hari ini bukan lagi soal dasar semata, tetapi soal persepsi, gaya, dan personaliti. Ia membentuk tanggapan dan mempengaruhi kepercayaan rakyat,” tegasnya.
Namun, beliau turut menyuarakan satu persoalan penting: “Adakah rakyat benar-benar mendengar isi, atau hanya terhibur dengan persembahan?”
Di hujung kenyataannya, Nik Suryani sempat berseloroh bahawa mungkin sudah tiba masanya untuk wartawan sebenar berkongsi ilmu kepada ahli politik yang semakin mahir bergaya di hadapan kamera.
“Kalau ahli politik pun dah ligat beraksi macam wartawan, mungkin dah sampai masa wartawan buka kelas. Siapa berminat, bolehlah standby!” katanya sambil ketawa.
#Politik2025 #KreatifBersamaRakyat #StandUpperYB #PolitikDigital #AhliPolitikVsWartawan #KandunganTular #TikTokPolitik #RealTalkMalaysia #GayaKempenBaharu #SkripUndi