KUALA LUMPUR – Jenama fesyen mewah tempatan, Amber, meneruskan legasinya dalam dunia fesyen Muslimah dengan pelancaran koleksi terbaharu edisi terhad yang dinamakan Amber Oasis Abaya.
Menggabungkan kehalusan seni rekaan avant-garde dan sentuhan warisan Islamik, koleksi ini memberi nafas baharu kepada busana abaya yang bukan sahaja menawan dari segi penampilan, malah menyentuh nilai spiritual dan identiti wanita Muslimah moden.
Menariknya, koleksi ini turut dilancarkan dengan kerjasama tiga figura wanita terkenal tanah air Nora Danish, Amira Othman dan Amyra Rosli yang masing-masing dipilih sebagai wajah rasmi koleksi berdasarkan karakter dan gaya hidup mereka yang mencerminkan nilai-nilai Amber iaitu elegan, yakin dan berprinsip.
Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan berkata, Amber Oasis Abaya tidak hanya sekadar koleksi pakaian.

“Ia adalah sebuah naratif fesyen yang merangkumi elemen seni, budaya dan ketulenan wanita Muslimah.
‘Kami ingin membuktikan bahawa gaya boleh seiring dengan nilai dan setiap wanita boleh tampil yakin serta bergaya tanpa mengorbankan keselesaan serta prinsip keislaman mereka,” katanya.
Koleksi ini mempersembahkan empat rekaan utama yang disusun rapi bagi memenuhi keperluan wanita moden yang berbeza citarasa.
Antaranya ialah Madeena, yang tampil anggun dalam warna-warna lembut seperti baby blue dan purplish gold; Arora, yang menonjolkan permainan tekstur dengan pleated copper brown dan midnight blue; Jumaira, pilihan kasual yang masih memancarkan kemewahan; dan Sahara, abaya yang lebih ringkas namun kekal bergaya, sesuai untuk pelbagai acara dan suasana.

Setiap helaian dalam koleksi ini direka dengan ketelitian tinggi untuk memastikan pemakainya bukan sahaja tampil cantik, tetapi turut merasakan pengalaman berpakaian yang menyenangkan dan bermakna.
Harga setiap rekaan pula disusun agar menepati nilai eksklusifnya, bermula daripada RM199 hingga RM329.
Apa yang lebih istimewa, setiap pembelian Amber Oasis Abaya dilengkapi dengan pembungkusan istimewa dalam kotak berlapik sutera, sijil keaslian bernombor, serta jemputan eksklusif ke pratonton fesyen khas sempena Kuala Lumpur Fashion Week 2025 yang akan datang.
Kemunculan selebriti-selebriti pilihan sebagai duta juga memberi impak besar kepada kempen ini.

Nora Danish dilihat mewakili keanggunan Madeena dengan gaya sofistikatednya, manakala Amira Othman membawa kelembutan feminin melalui Jumaira.
Amyra Rosli pula menjadi simbol wanita urban masa kini yang berani bergaya melalui koleksi Arora.
Dengan hanya 500 unit dihasilkan bagi setiap rekaan, koleksi Amber Oasis Abaya bukan sahaja menjanjikan eksklusiviti, tetapi juga menegaskan dedikasi Amber terhadap kualiti dan keunikan dalam setiap inci busana yang ditawarkan.

Pelancaran ini membuktikan bahawa Amber terus menjadi pelopor dalam menyatukan dunia fesyen dan nilai kehidupan Islam dalam satu persembahan yang elegan, artistik dan relevan untuk masa kini.