PUTRAJAYA – Yayasan Nurjiwa, yang diterajui oleh figura seni dan kemanusiaan negara Datuk Seri Siti Nurhaliza, terus memperkukuh peranannya dalam memperkasakan pendidikan negara apabila memperkenalkan inisiatif sulung berupa insentif wang tunai kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan cemerlang.

Sebanyak RM500 diberikan kepada setiap pelajar yang memperoleh semua A dalam peperiksaan SPM 2024, menjadikan keseluruhan sumbangan mencecah RM200,500 untuk seramai 401 pelajar.

Inisiatif ini dijalankan melalui kerjasama dengan pusat tuisyen terkemuka negara, PTTI dan diumumkan dalam Majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Dalam ucapan penuh inspirasi, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata, sokongan terhadap kecemerlangan pelajar bukan hanya dilihat dari segi akademik semata-mata, tetapi juga dari aspek motivasi dan pengiktirafan.

Beliau percaya penghargaan berbentuk insentif ini akan memberi impak besar terhadap semangat pelajar dan menjadi pemangkin kejayaan yang berterusan.

“Ini adalah kali pertama Yayasan Nurjiwa memberikan insentif kepada pelajar cemerlang yang memperoleh semua A dalam SPM.

“Kami berharap inisiatif ini akan menjadi satu bentuk galakan kepada calon-calon SPM akan datang agar terus berusaha mencapai keputusan terbaik,” katanya.

Yayasan Nurjiwa bukan sekadar meraikan kecemerlangan, malah aktif membantu pelajar yang memerlukan.

Dalam satu lagi komitmen kemanusiaan yang telah berjalan sejak beberapa tahun lalu, yayasan itu turut menyediakan makanan harian kepada hampir 100 pelajar dari golongan B40 serta anak-anak yatim di pelbagai lokasi.

“Setiap hari, Yayasan Nurjiwa menyediakan makanan kepada hampir 100 pelajar yang memerlukan, termasuk anak-anak yatim.

“Ia adalah usaha berterusan kami untuk memastikan pelajar-pelajar ini tidak terjejas dalam pembelajaran mereka akibat kesempitan hidup,” katanya lagi.

Gabungan usaha memberi ganjaran kepada pelajar cemerlang dan bantuan kepada mereka yang memerlukan menggambarkan pendekatan seimbang Yayasan Nurjiwa dalam menyokong pembangunan pendidikan negara.

Langkah ini sekaligus menzahirkan keprihatinan yayasan dalam memastikan tiada pelajar yang ketinggalan sama ada dari sudut akademik mahupun kebajikan.

Dengan kerjasama strategik bersama PTTI, serta sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, Yayasan Nurjiwa terus komited menjadi antara tulang belakang utama dalam memperkasakan pelajar Malaysia melalui pendidikan dan kebajikan yang bersepadu.

By Cynthia

Leave a Reply