KUALA LUMPUR, 2 Julai 2025 – Pameran Perindustrian Mesin Malaysia ke-36 (Malaysia International Machinery Fair – MIMF 2025) bakal membuka tirainya pada 10 hingga 12 Julai ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), menjanjikan penampilan terbesar sejak penubuhannya pada tahun 1989.
Dianjurkan oleh ES International Event Management Sdn Bhd, MIMF 2025 mengetengahkan konsep Industri 5.0, yang merangkumi gabungan automasi pintar, kecerdasan buatan (AI), serta kolaborasi manusia-mesin, demi melonjakkan kecekapan dan daya saing industri negara.
Menurut Pengurus Besar ES International, Datin Fan Shu Hua, pameran kali ini menampilkan lebih 450 syarikat tempatan dan antarabangsa, serta lebih 700 gerai pameran yang mewakili pelbagai sektor utama seperti plastik & acuan, pemprosesan makanan, pembungkusan, peralatan bakeri, teknologi pintar, serta LED dan papan iklan digital.
“Pameran ini bukan sekadar platform jual beli, tetapi medan pemindahan teknologi dan kerjasama industri antara Malaysia dan pemain global,” ujar beliau.
Antara tokoh yang hadir dalam sidang media termasuklah Dato’ Chong Chong Tik, Presiden Kehormat Seumur Hidup Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia, dan Dato’ Seri Abu Hassan Mohd Nor, Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM). Kedua-dua tokoh ini menekankan kepentingan penggunaan teknologi automasi dan AI dalam melonjakkan keupayaan usahawan tempatan ke peringkat antarabangsa.
“Dengan mesin terkini, hanya dua atau tiga orang pekerja diperlukan untuk mengendalikan proses pembungkusan makanan – ini adalah revolusi sebenar buat PKS,” kata Dato’ Seri Abu Hassan, sambil menambah bahawa teknologi ini membolehkan produk seperti karipap tempatan menembusi pasaran eksport.
Antara zon pameran utama yang bakal menarik perhatian pelawat adalah:
Plastik & Acuan (Mould & PLAS) – Menampilkan mesin acuan suntikan, bahan mentah, serta teknologi pembuatan pintar hasil kerjasama erat dengan CMEC China.
Pemprosesan Makanan, Pembungkusan & Peralatan Bakeri – Fokus kepada sistem pembungkusan pintar dan pemprosesan makanan automatik yang mematuhi piawaian industri halal.
Teknologi Pintar & LED Signage – Pameran teknologi AI, sistem automasi, robotik, dron industri, sistem kesihatan pintar dan banyak lagi.
Dato’ Chong turut mendedahkan bahawa pada edisi tahun lalu, hampir 95% mesin yang dipamerkan telah terjual semasa pameran berlangsung, melibatkan nilai transaksi melebihi RM3 bilion.
MIMF 2025 dijangka menjadi lonjakan baharu dalam memacu pertumbuhan industri kecil dan sederhana (IKS), serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju teknologi perindustrian di Asia Tenggara.
Para usahawan, pelabur, dan wakil industri dari dalam dan luar negara dijemput untuk menyertai pameran yang bakal menyaksikan pelancaran produk, demonstrasi teknologi masa hadapan dan peluang kerjasama perniagaan yang melangkaui sempadan.
“Kami percaya MIMF 2025 akan membuka lembaran baharu dalam menjadikan Malaysia sebagai pengeksport utama produk industri berjenama di Asia,” ujar Datin Fan Shu Hua,
#MIMF2025 #Industry5_0 #TeknologiPintar #AutomasiMalaysia #PameranMITEC #UsahawanMalaysia #HalalTech #SmartManufacturing #PKSTeknologi #EkspoMesinKL