KUALA LUMPUR – Selepas hampir dua dekad meninggalkan impak besar dalam industri perfileman tempatan, filem aksi permotoran yang pernah mencetuskan fenomena, Impak Maksima, kini kembali dengan sekuel terbaharu yang lebih mendebarkan.

Impak Maksima 2, arahan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, dijadual menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 17 Julai ini dengan janji pengalaman sinematik yang lebih menggegarkan.

Diterbitkan oleh Screen Studio Sdn Bhd, filem ini menyuntik semula semangat asal naskhah terdahulu sambil membawa kesinambungan konflik yang belum selesai antara dua watak utama, Abang Joe dan Ray.

Menariknya, lebih 1,000 buah kereta pelbagai jenis digunakan sepanjang penggambaran, sekali gus menjadikan Impak Maksima 2 antara filem tempatan yang paling besar dari segi skala dan logistik, khususnya dalam genre permotoran.

Menurut Ahmad Idham, cabaran utama dalam pembikinan sekuel ini adalah untuk mengangkat semula semangat sukan permotoran yang kian tenggelam dalam arus hiburan moden.

“Kami kekalkan elemen ‘budak kereta’ seperti dulu, tetapi kali ini kami tampilkan juga pelakon-pelakon baharu yang mampu memberikan suntikan segar kepada penceritaan.

“Ini bukan sekadar filem aksi, tetapi satu usaha untuk membina kembali budaya automotif Malaysia,” katanya.

Ahmad Idham berkata, pihaknya berhasrat untuk jangka panjang memperluaskan Impak Maksima ke peringkat antarabangsa, termasuk perancangan untuk menghasilkan Impak Maksima 3 yang berlatarkan pertandingan drift di Thailand.

“Kami sedang membina ‘universe’ khas untuk Impak Maksima. Dengan kebangkitan semula minat orang ramai terhadap dunia automotif, kami yakin filem ini mampu menjadi pencetus kepada gelombang baru dalam industri,” katanya lagi.

Barisan pelakon untuk Impak Maksima 2 adalah gabungan mantap pelakon lama dan baharu, antaranya Dato’ Sri Eizlan Yusof, Zul Huzaimy, Dynas Mokhtar, Riezman Khuzaimi, dan Opie Zamie.

Mereka digandingkan bersama bintang muda seperti Arfie Shah, Nelissa Nizam, Muhsin Nadzli, Fad Bocey, Riena Amirah, dan Man Raja Lawak.

Penggambaran telah dijalankan di beberapa lokasi ikonik termasuk di Lembah Klang, Iskandar Puteri, Johor Bahru dan Melaka.

Sokongan padu daripada jenama-jenama terkenal seperti Goodyear, Petronas Syntium, APD Crew Circuit, Tatabaum Autowerks, Ultra Racing, WrapXpert, Works Engineering dan HJC Helmet turut membuktikan keyakinan industri terhadap potensi filem ini.

Tidak ketinggalan, kerjasama erat daripada agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) turut membantu melancarkan proses penggambaran.

Menariknya, Impak Maksima 2 telah menjadi antara filem paling tular di platform media sosial sepanjang tempoh produksinya, hasil pendekatan promosi yang lebih agresif dan berani.

Peminat industri permotoran dan sinema tempatan dijangka tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan naskhah ini di pawagam.

Sinopsis Impak Maksima 2

Filem ini mengisahkan Abang Joe (Dato’ Sri Eizlan Yusof), pemilik pusat permotoran APD Crew Circuit di Selangor yang berdepan cabaran akibat kemerosotan minat terhadap sukan permotoran.

Kehadiran seorang pemuda bernama Rudy (Arfie Shah) anak saudara kepada ASP Maria (Dynas Mokhtar) mengubah segalanya.

Rudy, yang sering terbabit dalam lumba haram, dihantar bekerja di APD Crew sebagai sebahagian daripada usaha memberi peluang kedua kepadanya untuk berubah dan membina masa depan dalam dunia automotif secara profesional.

Di sinilah Rudy bertemu dengan tokoh-tokoh penting dalam dunia permotoran tempatan seperti Naim (Fad Bocey), Puteri (Riena Amirah), dan Johan (Johan Norman), seorang bekas drifter profesional.

Impian Rudy untuk menjadi drifter hebat mula menyala apabila dia diperkenalkan kepada dunia drift sebenar di bawah bimbingan Abang Joe.

Namun, konflik mula memuncak apabila Rudy terbabit dengan Gia (Nelissa Nizam), kekasih Rio (Muhsin Nadzli) seorang pelumba kaya yang penuh ego.

Pertelingkahan ini menjadi lebih rumit apabila watak antagonis, Ray (Zul Huzaimy), kembali dengan niat dendam terhadap Abang Joe.

Rudy akhirnya terperangkap dalam strategi licik Ray dan terpaksa berdepan dengan satu perlumbaan penting di mana kekalahan bukan sekadar soal harga diri, tetapi turut mempertaruhkan masa depan APD Crew Circuit.

Pertarungan akhir membabitkan Rudy, Rio dan pertaruhan terbesar antara Ray dan Abang Joe.

Apakah yang akan berlaku kepada nasib APD Crew? Siapakah yang bakal menjuarai pertandingan drift itu?

Semua persoalan akan terjawab apabila Impak Maksima 2 menemui penonton bermula 17 Julai ini.

By Cynthia

Leave a Reply