GOMBAK, 26 Julai 5025 – Ketua UMNO Bahagian Bangi, Dato’ Dr. Mohd Zaidi Md Zain menegaskan bahawa titah addendum berkaitan kelegaan hukuman kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah satu perisytiharan diraja yang wajib dilaksanakan oleh kerajaan, bukan sekadar cadangan atau pilihan.
Beliau berkata, titah tersebut, yang kini semakin menjadi perbualan bukan sahaja di kalangan pimpinan politik malah rakyat biasa dan NGO, seharusnya dihormati dan dipatuhi seperti termaktub dalam prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.
“Addendum itu adalah satu titah yang memberikan hak kepada Datuk Seri Najib mendapat suatu kelegaan hukuman. Ia bukan option, ia adalah ‘shall’. Wajib. Bila Tuanku isytihar, maka kena buat,” katanya dalam satu sidang kenyataan kepada media.
Zaidi menegaskan bahawa kegagalan kerajaan khususnya Perdana Menteri (PMX) melaksanakan titah tersebut boleh dianggap sebagai penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong. Beliau turut mempertikai alasan kononnya kerajaan tidak boleh campur tangan dalam proses mahkamah kerana menurutnya, rayuan terhadap addendum itu sendiri dibuat oleh pihak kerajaan.
“Bukan ganggu proses mahkamah kalau kerajaan tarik balik rayuan. Kalau tarik balik, tutup fail, laksana sahaja titah Tuanku,” tegas beliau.
Zaidi turut menyelar sikap kerajaan yang masih menangguhkan pelaksanaan titah addendum meskipun kewujudannya sudah diakui oleh pihak pendakwa raya (DPP) dan disahkan oleh mahkamah.
“Ini bukan kes jenayah tapi kes sivil. Addendum itu telah wujud, malah telah dikemukakan di mahkamah. Jadi, nak bincang apa lagi?” soalnya.
Beliau juga menggesa agar rakyat tidak hanya mempertahankan individu yang dizalimi, tetapi turut menyedarkan pihak yang melakukan kezaliman termasuk pihak kerajaan.
Zaidi menamatkan kenyataan dengan menyeru agar titah diraja berhubung kelegaan hukuman Datuk Seri Najib dilaksanakan segera tanpa alasan politik, kerana menurutnya kelewatan itu adalah satu bentuk penganiayaan terhadap bekas Perdana Menteri yang telah menjalani hukuman hampir 18 bulan.
“Tolonglah saudara kamu sama ada yang dizalimi atau menzalimi. Yang menzalimi itu kita cegah dia daripada terus menzalimi,” katanya merujuk kepada sabda Rasulullah SAW.
#AddendumNajib #HormatiTitahDiraja #ZaidiUMNOBangi #PMXResponsibility #KeadilanUntukNajib #Bossku #UMNOBangkit #TitahBukanPilihan #PengampunanDiraja #KebenaranUntukRakyat