KUALA LUMPUR, 2 Ogos 2025 — Sempena sambutan Hari Peneroka FELDA 2025, Felda Palong 13 mencipta sejarah apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Prestasi Getah Terbaik 2024, sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000. Kejayaan ini disambut penuh syukur dan bangga oleh seluruh warga peneroka serta pengurusan rancangan.

Ketua Peneroka Felda Palong 13, Encik Baharom Bin Ahmad, merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan tersebut. Menurut beliau, hasil pengeluaran pada tahun 2024 adalah yang tertinggi dalam sejarah rancangan itu.

“Saya tidak sangka FELDA Palong 13 dipilih sebagai pemenang. Ini semua hasil semangat peneroka yang gigih dan bimbingan berterusan daripada pihak pengurusan rancangan. Ini adalah kejayaan kita bersama,” kata beliau.

Pengurus Felda Palong 13, Encik Mohd Tajul Aruz bin Abdul Kadir, turut menzahirkan rasa syukur atas pencapaian cemerlang yang dicapai berkat komitmen tinggi semua peneroka dan petugas rancangan.

“Kita berjaya menghasilkan lebih satu juta kilogram getah pada tahun 2024, melebihi 100% daripada sasaran tahunan. Ini adalah hasil kerjasama erat semua pihak,” jelasnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada FELDA dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas sokongan tidak berbelah bahagi dalam memperkasa pembangunan dan kebajikan peneroka.

Dalam pada itu, kejayaan lain turut diraikan apabila Felda Bukit Easter diumumkan sebagai Johan Anugerah Kecemerlangan Rancangan FELDA 2025 yang membawa pulang ganjaran wang tunai RM1 juta, dan turut juga menerima pengiktirafan dalam kategori prestasi sawit yang membawa pulang ganjaran wang tunai RM10,000.

Kejayaan FELDA Palong 13 dan Bukit Easter membuktikan bahawa semangat kerja keras, kesatuan dan iltizam tinggi mampu melonjakkan hasil ladang serta mengharumkan nama rancangan di peringkat nasional.

#FeldaPalong13 #AnugerahGetahTerbaik #HariPeneroka2025 #KebanggaanFELDA #PenerokaCemerlang #FeldaGemilang #PMXPrihatin #FeldaMendunia #PalongPower #KomunitiFELDA #MK3D2025

Leave a Reply