KUALA LUMPUR, 3 Ogos 2025 – Mega Karnival Tiga Dimensi 2025 yang berlangsung selama lima hari di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang apabila mencatat kehadiran lebih 2.1 juta pengunjung, melebihi sasaran awal sebanyak 2 juta orang.

Karnival anjuran bersama FELDA, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ini telah menghimpunkan lebih 1,000 penyertaan usahawan dari seluruh negara. Lebih membanggakan, nilai padanan perniagaan (business matching) dianggarkan mencecah RM200 juta setakat jam 5 petang hari terakhir, manakala jualan tunai usahawan sepanjang lima hari karnival ini telah mengatasi sasaran RM6 juta dengan kutipan RM6.9 juta.

“Kejayaan ini bukan sahaja dari segi angka tetapi juga mencipta sejarah baharu melalui tujuh rekod Malaysia Book of Records (MBOR), enam daripada FELDA dan satu dari KKDW,” kata Datuk Banuri Aris, Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) FELDA.

Antara rekod yang dicatat termasuk:

• Penganjuran karnival keusahawanan terbesar dengan penyertaan lebih 1,000 usahawan,

• Persembahan simfoni orkestra dengan 735 pemain serentak,

• Program Masterclass terbesar dalam satu hari,

• Penyertaan belia dan beliawanis terbanyak dalam program robotik dan pengaturcaraan,

• Aktiviti pendidikan berkaitan industri sawit,

• Pertandingan karom berpasangan dengan lebih 1,400 peserta,

• Cabaran Strongestman menarik bas sejauh 20 meter dengan penyertaan terbanyak.

“Lebih 317 rancangan FELDA mengambil bahagian termasuk FELDA Lahad Datu dan Tawau. Sekurang-kurangnya sebuah bas dari setiap rancangan hadir memberi sokongan,” jelas beliau lagi.

Karnival ini turut menjadi medan penyatuan strategik antara tiga segmen penting: usahawan FELDA, KUD (KKDW), dan SDSI (KUSKOP), sekaligus mewujudkan satu ekosistem baru yang memperkasa keusahawanan desa dan bumiputera.

Menurut Banuri, pendekatan kolaboratif ini harus diteruskan pada masa hadapan, malah telah mendapat sokongan penuh daripada YAB Timbalan Perdana Menteri untuk dianjurkan semula sempena sambutan Hari Peneroka ke-70 pada Julai 2026.

“Kita bukan sahaja membina jaringan niaga, malah memulakan budaya keusahawanan baharu dari desa ke pentas dunia,” ujar beliau optimis.

#MegaKarnival3Dimensi #DesaMendunia #FeldaGemilang #UsahawanBumiputera #KUDxSDSIxFELDA #MITEC2025 #MalaysiaBookOfRecords #EkonomiHijau #HariPeneroka2026 #KeusahawananDesa
#HPF2025 #HARIPENEROKAFELDA2025 #SegalanyaFELDA #DesakuMendunia #MK3D2025

Leave a Reply