oplus_32

PUTRAJAYA, 5 Ogos 2025 – Seramai 685 mangsa yang terlibat dalam skim pelaburan saham keutamaan boleh tebus (RPS/i-RPS) yang dianjurkan oleh 12 syarikat tempatan tampil bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menggesa siasatan segera dilakukan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin bin Hashim, dalam kenyataannya memaklumkan bahawa jumlah kerugian yang ditanggung oleh para pelabur dianggarkan melebihi RM183 juta. Modus operandi syarikat-syarikat terbabit melibatkan penawaran pelaburan berasaskan RPS/i-RPS, debentur, saham pengarah serta saham Pra-IPO – namun kesemuanya mempunyai corak penipuan dan pemanipulasian perjanjian pelaburan yang serupa.

“Syarikat-syarikat ini menggunakan dokumen pelaburan rumit serta kaedah perundangan yang mengelirukan untuk memperdaya pelabur. Dividen dijanjikan hanya dibayar pada awal, sebelum dihentikan secara tiba-tiba, disusuli dengan pelbagai helah dan dokumen palsu,” tegas Dato’ Hishamuddin.

Menurut beliau, laporan polis dan aduan telah dikemukakan sejak tahun 2023 kepada beberapa agensi seperti PDRM, SSM, Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia, namun sehingga kini, tiada sebarang tindakan mahkamah yang tegas dikenakan terhadap individu atau syarikat terbabit.

Lebih mengecewakan, sebahagian besar laporan polis diklasifikasikan sebagai “Refer Other Report (ROR)” atau ditamatkan di mahkamah melalui DNAA (Discharge Not Amounting to Acquittal), sekaligus menafikan peluang mangsa mendapatkan pembelaan sewajarnya.

MHO dan para mangsa menuntut agar SPRM menjalankan siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM yang memperuntukkan kesalahan memperdaya prinsipal oleh ejen melalui penyampaian dokumen atau maklumat palsu.

“Kehadiran kami di SPRM hari ini bukan sekadar simbolik, tetapi adalah langkah serius untuk mendesak tindakan segera dan menyeluruh. Kami yakin bahawa kes ini selari dengan kes-kes terdahulu yang berjaya disiasat SPRM di bawah seksyen yang sama,” kata Dato’ Hishamuddin.

MHO turut menyatakan komitmen penuh untuk bekerjasama dengan SPRM dengan menyediakan segala dokumen dan bukti yang relevan bagi membantu siasatan.

Mangsa-mangsa yang kebanyakannya dari pelbagai latar belakang kini menanggung beban kewangan yang berat serta trauma emosi akibat kehilangan wang simpanan dan pelaburan mereka.

Mereka menyeru pihak berkuasa agar tidak terus berdiam diri dan tampil memikul tanggungjawab melindungi rakyat daripada menjadi mangsa penipuan berskala besar.

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f