KUALA LUMPUR, 4 Ogos 2025 – Satu lagi skim penipuan pelaburan berkonsepkan tahyul dikesan beroperasi secara senyap di Malaysia apabila mangsa-mangsa tampil membuat pendedahan berani menerusi Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Difahamkan, skim penipuan ini melibatkan dakwaan kewujudan “dana emas” dan “tunai luar negara” yang kononnya berjumlah puluhan bilion dolar Amerika Syarikat, dikatakan disimpan di institusi kewangan luar negara termasuk di United Kingdom dan Switzerland. Mangsa-mangsa yang hadir ke MHO melaporkan kerugian dari ribuan hingga ratusan ribu ringgit seorang, dengan jumlah keseluruhan kerugian dipercayai mencecah jutaan ringgit.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim, modus operandi kumpulan penipu ini adalah menjanjikan pulangan luar biasa kepada pelabur sekiranya mereka bersetuju membiayai “pengaktifan dana” tersebut, yang kemudiannya akan “dibebaskan” dalam bentuk tunai dan harta. Untuk meyakinkan mangsa, kumpulan ini menggunakan dokumen berlogo rasmi institusi kewangan termasuk Bank Negara Malaysia — yang disyaki telah dipalsukan sepenuhnya.

“Para pelabur turut diarahkan membuka akaun korporat dengan bayaran tinggi kononnya bagi membolehkan aliran dana dari luar negara masuk ke Malaysia. Namun, sehingga hari ini, tiada seorang pun menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan,” ujar Dato’ Hishamuddin dalam satu sidang media hari ini.

Lebih membimbangkan, skim ini dipercayai masih giat dijalankan secara rahsia dan berpotensi menjerat lebih ramai mangsa. Pihak MHO menggesa agar individu yang pernah diperdaya tampil membuat laporan kepada agensi penguat kuasa bagi menghentikan kegiatan yang disyaki merupakan penipuan pelaburan berskala besar ini.

MHO juga menyeru pihak berwajib termasuk polis, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti untuk melakukan siasatan terperinci terhadap dalang yang dikenali sebagai “mastermind”, serta rangkaian “mandate” dan “leader” yang terlibat dalam skim ini.

“Sudah tiba masa pihak berkuasa bertindak tegas terhadap kegiatan yang mencemar imej negara dan menindas rakyat melalui janji palsu yang tidak masuk akal,” tegas beliau.

#DanaEmasPalsu #PelaburanTahyul #SkimPenipuan2025 #MHOdedah #WaspadaPenipuan #MangsaPelaburan #SiasatSegera #BankNegaraMalaysia #KeselamatanKewangan #JanganMudahPercaya

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f