KUDAT – Lebih 1,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari sembilan buah sekolah menengah di daerah Kudat telah menyertai Program Jelajah Skor A+ SPM anjuran PTTI Group Sdn. Bhd., yang berlangsung selama dua hari pada 11 dan 12 Ogos lalu di Dewan Hakka, Kudat.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kudat, serta Kelab Nuri Bank Rakyat ini bertujuan memperkasa calon SPM dengan strategi pembelajaran berkesan dan teknik menjawab soalan yang terbukti membantu pelajar mencapai kecemerlangan akademik.

Pelajar-pelajar daripada sembilan buah sekolah terbabit termasuklah SMK Abdul Rahim, SMK Abdul Rahim II, SMK Kudat, SMK Kudat II, SMK Sikuati, SMK Sikuati II, SMK St. Peter, SMJK Lok Yuk dan SMK Pinawantai.

Mereka telah mengikuti sesi intensif bagi empat subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan Sejarah.

Setiap sesi dikendalikan oleh tenaga pengajar berpengalaman daripada PTTI dan menumpukan kepada teknik menjawab soalan dengan tepat, kaedah mudah menghafal fakta serta penggunaan ‘formula rahsia’ yang dirangka khusus untuk menjamin penguasaan topik peperiksaan.

Tidak hanya tertumpu kepada akademik, program ini turut menampilkan pengisian berkaitan literasi kewangan yang dikendalikan oleh Kelab Nuri Bank Rakyat.

Slot istimewa itu memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai pengurusan kewangan bijak, sejajar dengan aspirasi kerajaan dan Bank Negara Malaysia dalam membentuk generasi celik kewangan sejak usia muda.

Sebagai tanda sokongan, PTTI turut menaja pembukaan akaun Kelab Nuri untuk peserta, selain memberikan modul pembelajaran percuma sebagai bahan rujukan tambahan menjelang peperiksaan.

Eksekutif Kanan Komunikasi Strategik PTTI Group Sdn. Bhd., Eizlan Haikal Eusop berkata, program ini adalah satu inisiatif berterusan pihaknya dalam membantu calon SPM menghadapi peperiksaan dengan keyakinan dan persediaan yang kukuh.

“PTTI komited membantu murid, khususnya calon SPM, agar mampu mencapai keputusan cemerlang.

“Melalui program ini, kami bukan sahaja berkongsi teknik jawab soalan secara berkesan, malah memberikan motivasi dan keyakinan diri supaya mereka dapat melangkah ke dewan peperiksaan dengan persediaan terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kudat (Sektor Pembelajaran), Sharif Zainal Abiddin Sharif Shek, menyifatkan kolaborasi strategik antara pihak swasta dan institusi pendidikan sebagai usaha murni yang membawa impak besar terhadap pembangunan akademik pelajar luar bandar.

“Kerjasama antara PTTI, JPN Sabah, PPD Kudat dan Kelab Nuri Bank Rakyat amat bermakna dalam usaha meningkatkan prestasi akademik murid.

“Program ini membuktikan bahawa sokongan komuniti dan pihak swasta mampu memberikan impak positif kepada pencapaian pendidikan di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Deposit Bank Rakyat, Azilla Nasarudin berkata, pentingnya literasi kewangan dalam kalangan pelajar dan menzahirkan komitmen Kelab Nuri dalam mendidik generasi muda yang seimbang dari segi akademik dan kemahiran hidup.

“Melalui Kelab Nuri Bank Rakyat, kami mahu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga celik kewangan.

“Literasi kewangan ialah kemahiran hidup yang penting, dan pendedahan awal seperti ini membantu mereka membuat keputusan kewangan yang bijak pada masa depan,” katanya.

Program Jelajah Skor A+ SPM ini sekali lagi mengukuhkan peranan PTTI sebagai peneraju dalam bidang pendidikan tambahan negara, yang bukan sahaja berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang, malah terus berusaha membawa ilmu ke pelusuk daerah termasuk kawasan luar bandar.

PTTI kini dikenali sebagai pusat tuisyen paling berprestasi tinggi di negara ini, setelah mencatatkan jumlah tertinggi pelajar yang memperoleh semua A dalam keputusan SPM 2024 yang lalu.

Kejayaan ini menjadi bukti bahawa pendekatan holistik dan sokongan menyeluruh mampu membina generasi pelajar yang bukan sahaja bijak dalam akademik, tetapi juga bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar.

By Cynthia

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f