KUALA LUMPUR, 3 September 2025 – Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) khas dalam menangani salah laku pemain dan pegawai pasukan sempena Liga Sepak Takraw: Piala Juara-juara (STL-CC) 2025 yang bakal berlangsung di Arena Karisma, Seremban bermula 3 hingga 7 September ini.
Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, SOP ini diwujudkan bagi membendung tindakan keterlaluan seperti menceroboh gelanggang, membaling botol air, memaki pengadil dan menendang papan iklan – insiden yang pernah mencetuskan kontroversi pada siri Grand Prix STL 2025 di Kuala Lumpur dan Johor Bahru sebelum ini.
“Kes salah laku ini bukan sahaja mencemari imej sukan sepak takraw malah memberi tekanan besar kepada pengadil. Maka, SOP ini akan memastikan tindakan segera dikenakan, termasuk kad merah atau kuning automatik serta penggantungan daripada beberapa perlawanan,” katanya.
STL-CC 2025 yang dijadualkan berlangsung di arena baharu serba moden ini akan menyaksikan persaingan sengit antara lima pasukan terbaik tempatan – Perak Bison, Kuala Lumpur Thunder, Melaka Titans, Negeri Sembilan Antlers, dan Johor Tigris – bersama lima pasukan antarabangsa dari Thailand, Singapura, India, Korea Selatan dan Jepun.
ASTAF turut memperkenalkan sistem laporan analisis pengadil melalui borang khas, sekali gus memperkemas pemantauan mutu pengadilan sepanjang kejohanan. Seramai 15 pengadil antarabangsa serta 10 pegawai teknikal (ITO) dari pelbagai negara akan bertugas di Seremban bagi memastikan kejohanan berjalan lancar.
“Sudah tiba masanya SOP ini dikuatkuasakan. Tugas pengadil bukan mudah, apatah lagi dengan ribuan penonton yang hadir. Maka, pengadil juga perlu diberi perlindungan dan keadilan dalam menjalankan tanggungjawab mereka,” tegas Halim.
STL-CC 2025 dijangka menjadi pentas paling panas tahun ini, bukan sahaja kerana kehangatan aksi di gelanggang, tetapi juga sebagai ujian pertama pelaksanaan SOP tatatertib khas ASTAF.
#STLCC2025 #SepakTakraw #ArenaKarisma #TakrawAsia #ASTAF #STLMalaysia #SportsNewsMY #RespectTheGame #FairPlayFirst #TakrawLegend