KUALA LUMPUR – Cadangan pelaksanaan Urban Renewal Act (URA) atau Pembangunan Semula Bandar (PSB) mendapat perhatian apabila AJK UMNO Bahagian Setiawangsa, Hussein Zulkarai menegaskan beberapa syarat penting perlu diberi perhatian oleh kerajaan.
Beliau menyatakan walaupun tanpa URA, usaha pembaharuan bandar tetap akan berjalan, namun syarat pelaksanaan harus lebih ketat dan teliti demi kesejahteraan rakyat.
Antara cadangan utama yang dikemukakan Hussein termasuklah syarikat pelaksana projek wajar datang daripada agensi kerajaan atau anak syarikat milik kerajaan seperti UDA Holdings, Prasarana, Sime Darby dan Tabung Haji. Katanya, kehadiran entiti berkaitan kerajaan mampu meningkatkan keyakinan masyarakat, khususnya di kawasan penempatan Melayu.
Selain itu, Hussein turut menekankan aspek teknikal perumahan yang sering diabaikan. Beliau mencadangkan agar:
Ketinggian siling unit rumah ditetapkan lebih selesa,
Reka bentuk pelan rumah mengelakkan ruang tamu menghadap bilik atau tandas,
Kaki lima diperluas kepada enam kaki bagi kemudahan kecemasan,
Setiap rumah disediakan dua petak parkir,
Setiap blok mempunyai sekurang-kurangnya empat lif,
Kawalan penggunaan elektrik di kawasan awam (common area) diurus secara efisien.
Lebih penting, Hussein menekankan agar syarikat pelaksana diwajibkan menyelia pengurusan bersama (JMB) sekurang-kurangnya selama 6 tahun berbanding 2 tahun seperti amalan biasa. Ini bagi memastikan sebarang kerosakan atau masalah binaan selepas tempoh awal dapat ditanggung oleh pihak pemaju.
Beliau turut mengingatkan bahawa pelaksanaan URA tidak wajar diserah bulat-bulat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sahaja, sebaliknya perlu melalui mesyuarat kabinet untuk memastikan keputusan lebih menyeluruh dan telus.
“Ini syarat wajib yang perlu dimasukkan dalam pembangunan semula bandar demi rakyat,” tegasnya.
#UrbanRenewal #PembangunanBandar #SuaraRakyat #PerumahanMampuMilik #Setiawangsa #HusseinZulkarai #KPKT #TransformasiBandar #IsuRakyat #BersamaKerajaan