Putrajaya, 15 September
Kes-kes rayuan kemasukan universiti yang dikumpulkan oleh Ahli Parlimen dan ADUN DAP dari seluruh negara telah selesai dikompilasi dan secara rasmi dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Unit Pusat Universiti (UPU) pada Jumaat lalu untuk tindakan lanjut.

Ahli Parlimen Ipoh Timor merangkap Friend of Ministry (FOM) KPT, YB Howard Lee Chuan How, berkata rayuan tersebut melibatkan dua kategori utama pelajar – mereka yang mendapat tawaran universiti tetapi bukan dalam kursus pilihan, serta mereka yang tidak mendapat sebarang tawaran.

“Kes-kes ini datang daripada pelajar STPM, Matrikulasi, Asasi, A-Level dan Diploma, dengan pencapaian akademik antara CGPA 2.8 hingga 4.0,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Howard turut memaklumkan bahawa beliau bersama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Wong Kah Woh, telah berhubung rapat dengan pihak KPT dan Pengarah UPU sepanjang minggu lalu untuk memastikan setiap rayuan diproses secara adil dan telus.

Mengulas lanjut, Howard menegaskan bahawa terdapat saluran rasmi yang telah diperuntukkan oleh KPT untuk menangani rayuan pelajar. “DAP akan terus meneliti serta mengikuti rapat perkembangan kes-kes rayuan ini,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan MADANI yang telah melaksanakan pembaharuan penting tahun ini, iaitu jaminan penempatan bagi pelajar STPM aliran Sains dengan CGPA 4.0 ke dalam salah satu daripada tiga pilihan kursus utama mereka.

“Ini adalah satu reformasi besar yang menyelesaikan masalah lama, di mana pelajar cemerlang STPM sering merasa terpinggir. Di Ipoh sendiri, enam pelajar STPM 4.0 aliran Sains berjaya memperoleh kursus idaman mereka. Saya ucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Howard mengakui sistem sedia ada masih mempunyai ruang untuk diperbaiki, dan menegaskan kerajaan MADANI akan terus melaksanakan penambahbaikan secara berperingkat agar sistem kemasukan universiti menjadi lebih inklusif dan adil.

Dokumen rayuan pelajar berkenaan telah diserahkan secara rasmi kepada KPT dan UPU oleh Setiausaha Sulit YB Wong Kah Woh serta Setiausaha Politik YB Howard Lee.

#UPU2025 #HowardLee #KPT #RayuanUPU #KerajaanMADANI #PendidikanTinggi #PelajarMalaysia #STPM #Matrikulasi #SuaraPelajar

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f