KUALA LUMPUR, 18 September 2025 – Suara lantang dari akar umbi UMNO kembali bergema apabila Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan, tampil memberikan peringatan keras terhadap rakan dalam Kerajaan Perpaduan Madani.
Beliau mengucapkan tahniah kepada Dato’ Gulam Muszaffar, Ketua UMNO Bahagian Batu, yang disifatkan sebagai salah seorang pejuang prinsip dalam parti.
“Jawatan itu tak seberapa pun, yang penting adalah prinsip. Apa yang dilakukan oleh Dato’ Gulam adalah benar – beliau mempertahankan hak UMNO seperti yang sepatutnya,” tegas Dr. Azam.
Beliau mendakwa Kerajaan Perpaduan Madani bersikap halus dengan memberi jawatan kepada UMNO, namun pada masa yang sama menafikan hak yang sepatutnya diperoleh parti.
Menurutnya, kebijaksanaan politik Presiden UMNO, Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, membolehkan parti kekal relevan meskipun sering dilukai dengan tindakan sekutu dalam kerajaan.
“Presiden senyum walau hati terluka. Tapi ingat, hirisan-hirisan PH telah mengguris hati orang Melayu dan UMNO,” katanya.
Dr. Azam juga memberi amaran kepada rakan gabungan seperti DAP, PKR dan PH agar tidak memperlekehkan UMNO.
“Ingat, jangan main-main api. Kamu dapat jawatan, jadi menteri, jangan perlekehkan UMNO. Kerana UMNO lah yang sejak merdeka membina negara ini,” tegas beliau sambil menyatakan kesediaan untuk dipecat sekiranya kenyataan itu tidak disenangi.
Beliau mengingatkan bahawa kejatuhan PH 1.0 dahulu adalah kerana sikap angkuh terhadap rakan gabungan, dan sejarah itu tidak harus berulang.
Kenyataan lantang ini mencerminkan keresahan sebahagian pemimpin akar umbi UMNO terhadap pengagihan kuasa dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya berkaitan jawatan dan hak yang dianggap wajar diberikan kepada UMNO.
#UMNO #KerajaanMadani #PolitikMalaysia #UMNOvsPH #HakUMNO #MaruahUMNO #DrAzamRauzan #ZahidHamidi #PolitikTerkini #SuaraAkarUmbi