JOHOR BAHRU, 23 September 2025 – Kejohanan Memanah Antarabangsa Johor (JIAT) 2025 yang berlangsung di Johor pada 23 hingga 28 September ini mendapat perhatian besar daripada masyarakat, khususnya kerana ia bukan sekadar pertandingan sukan, tetapi juga platform mencungkil bakat baharu dalam arena memanah.
YB Pandak Ahmad, ADUN Kota Iskandar, menegaskan bahawa memanah bukan sahaja satu aktiviti riadah, malah merupakan sunnah yang membawa manfaat kepada fizikal, mental dan rohani. “Kita mahu memberikan pendedahan kepada bakat baharu dan bakat lama, bukan hanya untuk peringkat kebangsaan tetapi juga ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Majlis perasmian kejohanan ini disempurnakan oleh Datuk Bandar MBJB, manakala majlis penutup pula pada 28 September 2025 akan disempurnakan oleh YB Hairi Md Shah, Exco Belia dan Sukan Johor. Kejohanan ini dijangka menarik penyertaan ramai atlet serta peminat sukan memanah dari dalam dan luar negara.
Sementara itu, Dr. Azam Rauzan, Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, menyifatkan YB Pandak sebagai seorang pemimpin yang disenangi rakyat serta pemimpin politik merentas parti. “Kelebihan Pandak adalah sikapnya yang sentiasa dekat dengan rakyat. Malah, beliau boleh dihubungi 24 jam untuk mendengar permasalahan masyarakat,” katanya.
YB Pandak turut menekankan bahawa tanggungjawab besar sebagai wakil rakyat di kawasan Kota Iskandar yang mempunyai lebih 500,000 penduduk memerlukan komitmen tinggi, disiplin, dan kesihatan yang baik. “Kalau kita tidak jaga kesihatan, bagaimana kita mampu menyantuni rakyat?” ujarnya.
Beliau turut mengiktiraf peranan Dr. Norman Sapar yang dilantik sebagai Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Johor kerana semangat kesukarelawan dan komitmennya dalam membangunkan sistem serta pengurusan persatuan.
Kejohanan ini diyakini akan melonjakkan nama Johor sebagai pusat pembangunan sukan memanah sekaligus mengangkat bakat anak muda ke peringkat dunia.
#KejohananMemanahJohor #ArcheryChampionship2025 #JohorBangkit #SukanUntukRakyat #PandakAhmad #ArcheryIsSunnah #BeliaJohor #JohorInternationalArchery #SukanTradisiModen #JohorHebat