KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan menegaskan bahawa Malaysia perlu mengambil iktibar daripada pergolakan yang berlaku di Nepal baru-baru ini.

Beliau menolak dakwaan bahawa rusuhan di negara itu dipelopori oleh golongan Generasi Z semata-mata, sebaliknya menyifatkan terdapat pihak tertentu yang menjadi dalang di sebalik kekacauan tersebut.

“Generasi Z tidak mempunyai kuasa sebegitu rupa. Ada dalang di sebaliknya. Sebab itu di Malaysia kita kena berhati-hati,” katanya.


Dr. Azam turut menggesa pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), agar lebih tegas menangani individu yang menyebarkan fitnah serta membakar sentimen rakyat di media sosial.

Beliau memberi contoh wujudnya individu yang setiap hari didakwa menyebarkan hasutan tanpa dikenakan sebarang tindakan tegas.

Dalam masa sama, beliau menyatakan keprihatinan terhadap penganjuran perhimpunan haram yang semakin sukar dikawal pihak polis.

“Kenapa ada yang telah didakwa, tetapi masih ramai yang bebas? Saya mahu Malaysia belajar daripada kealpaan pihak berkuasa di Nepal agar perkara sama tidak berlaku di sini,” tegasnya.


Menurutnya, walaupun Malaysia jauh lebih stabil, rakyat perlu sentiasa bersyukur dan menolak sebarang cubaan pihak tertentu yang cuba memainkan isu 3R (agama, bangsa, dan raja).

Dr. Azam menegaskan bahawa rakyat Malaysia matang, bersyukur, serta memiliki kebijaksanaan untuk mempertahankan keamanan negara.

“Ingat, tiada siapa yang di luar batasan undang-undang,” katanya.


#Nepal #Malaysia #Pergolakan #IsuSemasa #DrAzamRauzan #UMNO #PolitikMalaysia #3R #MCMC #Polis

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f