
16,600 Bakul Kasih Vanakam MADANI: Ramanan Flag-Off Bantuan RM2 Juta Untuk Rakyat!
SUNGAI BULOH, 5 Oktober 2025 – Menjelang sambutan perayaan Deepavali pada 20 Oktober ini, sinar kegembiraan mula terpancar di wajah komuniti India apabila Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di bawah inisiatif Program Sumbangan Deepavali Vanakam MADANI menyalurkan sebanyak 16,600 Bakul Kasih kepada keluarga B40 di seluruh negara.
Program ini diilhamkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta pejabat Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi membantu golongan kurang berkemampuan membuat persiapan perayaan dengan lebih ceria dan bermakna.


“Program ini kita mulakan di Parlimen Sungai Buloh sebagai simbolik pelancaran, sebelum diteruskan ke seluruh negara dari Perlis hingga ke Johor. Sebanyak RM2 juta diperuntukkan, termasuk kos logistik dan pengurusan bagi memastikan bantuan sampai tepat pada masanya sebelum Deepavali,” ujar Dato’ Sri Ramanan ketika majlis pelancaran di Sungai Buloh hari ini.
Setiap Bakul Kasih mengandungi pelbagai barangan asas yang sinonim dengan sambutan Deepavali seperti beras Jati 5kg, minyak masak 2kg, tepung muruku dan denderam, serbuk kari ikan dan daging, kacang dhal, minyak bijan serta kordial sirap pelbagai perisa.
Simbolik majlis penyerahan disempurnakan dengan penyerahan Bakul Kasih kepada 50 penerima daripada komuniti sekitar Parlimen Sungai Buloh, diikuti upacara flag-off lapan buah lori yang membawa sumbangan ke seluruh negara.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Urusan (Kewangan) AIM, Norsharizal Mashahrin serta CEO AIM, Dato’ Syamil Aziz, yang turut memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif kebajikan ini.
Menurut Dato’ Sri Ramanan, pelaksanaan program ini membuktikan komitmen Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk memastikan tiada golongan terpinggir dalam menikmati nikmat perayaan.
“Ini bukan sekadar bantuan makanan, tetapi satu tanda kasih dan solidariti untuk mengangkat semangat perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia. AIM bukan hanya institusi pembiayaan mikro, tetapi rakan strategik dalam memperkasa ekonomi rakyat,” jelas beliau.
Dengan semangat Vanakam MADANI, program ini menyemai mesej bahawa Deepavali bukan sekadar perayaan cahaya, tetapi lambang kasih, kebersamaan dan kepedulian sesama rakyat.
#VanakamMADANI #DeepavaliKasih #BakulKasihAIM #RamananPrihatin #KUSKOP