KUALA LUMPUR – Amalan tidur berpanjangan selepas mengambil ubat ketika sakit sering dianggap sebagai cara terbaik untuk mempercepatkan penyembuhan.
Menurut pakar kesihatan, Dr Afif Mohd Ridzwan, kepercayaan itu sebenarnya tidak hanya kurang tepat, bahkan boleh memudaratkan tubuh dan melambatkan proses pemulihan, khususnya bagi mereka yang dijangkiti Influenza A.
Dalam sebuah video tular di TikTok, Dr Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain, berkongsi penjelasan perubatan berhubung kesilapan lazim masyarakat yang terlalu bergantung kepada rehat berlebihan tanpa memberi tumpuan kepada keperluan fisiologi tubuh ketika sakit.
“Ramai anggap kalau sakit, kena tidur banyak. Tapi realitinya, kalau kita terlalu banyak tidur terutama waktu siang tubuh kita tak mampu bekerja dengan optimum untuk melawan virus dalam badan.
“Influenza A misalnya, memerlukan tubuh kekal aktif supaya sistem perkumuhan berfungsi untuk menyingkirkan kuman,” katanya.Dr Afif berkata, tiga organ utama perkumuhan manusia iaitu kulit, usus dan buah pinggang berperanan besar dalam proses penyembuhan.
Oleh itu, seseorang pesakit perlu banyak berpeluh, minum air dan makan secukupnya bagi memastikan proses perkumuhan berjalan lancar.
Beliau turut menasihatkan pengambilan makanan dan minuman yang membantu proses hidrasi dan detoksifikasi badan seperti air kelapa, barli serta sup berkhasiat.

Katanya, kekerapan membuang air kecil adalah antara petunjuk bahawa tubuh sedang aktif mengusir virus.
“Sakit bukan alasan untuk tidak makan. Jika kita tidak makan langsung, usus boleh luka dan ini amat berbahaya.
“Makanan adalah sumber tenaga dan zat penting untuk tubuh bertindak balas terhadap jangkitan,” katanya lagi.
Mitos bahawa tidur semata-mata boleh menyembuhkan penyakit juga dikatakan boleh membawa implikasi kepercayaan yang salah.
Menurut Dr Afif, jika seseorang terlalu bergantung kepada tidur tanpa usaha lain untuk sembuh, ia boleh dianggap sebagai bentuk kepercayaan melampau atau khurafat.
“Kita disuruh berikhtiar makan ubat, jaga pemakanan, kekal aktif dan berserah kepada Allah.
“Tapi kalau hanya tidur, itu bukan ikhtiar. Bahkan ada yang percaya hanya tidur mampu sembuhkan penyakit, itu boleh cenderung kepada syirik jika tidak difahami betul,” tambahnya.
Dr Afif berkata, rehat tetap penting, tetapi perlu diimbangi dengan keaktifan ringan dan pengambilan nutrien yang cukup.
“Tidur sekejap atau tidur malam yang berkualiti sudah memadai. Apa yang penting, tubuh mendapat keperluan asas untuk melawan penyakit,” katanya.
Untuk makluman, Influenza A adalah sejenis jangkitan virus pernafasan yang boleh menyebabkan simptom seperti demam tinggi, batuk, keletihan, sakit otot dan sakit kepala.
Ia boleh menjadi lebih serius berbanding selesema biasa dan menimbulkan komplikasi berbahaya, khususnya kepada golongan rentan seperti warga emas, kanak-kanak serta pesakit imun lemah.
Langkah pencegahan seperti mengelakkan kawasan sesak, memakai pelitup muka, mencuci tangan dengan kerap, serta pengambilan vaksin influenza tahunan amat digalakkan bagi mengurangkan risiko jangkitan dan penularan.