KUALA LUMPUR, 9 Disember 2025 – Duta Jenama Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia (MYMT) 2026, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, menegaskan komitmen penuhnya untuk memperkasa promosi pelancongan kesihatan negara di pentas antarabangsa melalui pelbagai platform media dan penampilan rasmi.
Sejak pelantikannya pada Julai lalu, beliau berkata usaha memperkenalkan kehebatan perubatan Malaysia telah digerakkan secara aktif melalui penerbitan video, perkongsian maklumat serta hebahan positif mengenai kemampuan hospital swasta tempatan dan kepakaran doktor Malaysia.
“Saya berharap sebagai orang yang dikenali di Malaysia, Indonesia dan Singapura, saya dapat membantu memperluaskan capaian kempen MYMT melalui platform media dan kemunculan rasmi,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Hospital Pelancongan Perubatan Utama Malaysia 2025 di Damansara.
Menurut penyanyi tersohor negara yang mesra dipanggil Tokti itu, minat tinggi peminat dan rakan-rakan luar negara terhadap rawatan kesihatan di Malaysia membuktikan keyakinan semakin meningkat terhadap perkhidmatan perubatan tempatan.
“Ramai yang bertanyakan saya tentang hospital swasta Malaysia, termasuk mereka yang datang hanya untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Ini tanda Malaysia semakin dipercayai,” katanya.
Siti turut menyifatkan perkembangan itu sebagai bukti kukuh bahawa Malaysia berada di landasan tepat sebagai destinasi rawatan moden yang selamat dan berdaya saing.
Mengulas mengenai jenis rawatan paling mendapat permintaan pelancong kesihatan, Siti berkata Malaysia menawarkan kepakaran bertaraf dunia terutama dalam rawatan jantung, kanser, dan persenyawaan in-vitro (IVF).
Beliau juga berkongsi pengalaman peribadi menjalani proses IVF yang menjadikannya sumber rujukan ramai wanita dari Malaysia dan Indonesia yang memerlukan panduan mengenai rawatan kesuburan.
“Lawatan ke beberapa hospital terkemuka membuka mata saya tentang keluasan teknologi dan kepakaran doktor kita. Sebab itu saya terpanggil untuk berkongsi maklumat ini kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya.
Berhubung pelaksanaan MYMT 2026, Siti Nurhaliza menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyokong kempen tersebut kerana mampu memberi impak langsung kepada ekonomi negara.
Selain rawatan kesihatan, peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kecantikan, gaya hidup sihat dan penjagaan tubuh menjadikan Malaysia berpotensi besar muncul sebagai hab pelancongan kesihatan serantau.
“Kalau kita sendiri tidak menyokong industri kesihatan negara, siapa lagi? Saya yakin Malaysia mampu menjadi pusat rawatan terbaik dunia melalui gabungan kepakaran, destinasi menarik dan tawaran pelancongan bertaraf antarabangsa,” ujarnya.
#MYMT2026 #SitiNurhaliza #Toktin #PelanconganKesihatan #MalaysiaHealthcare