
Full Settlement RM25,000 Ditolak, Dato’ Dr Kalaivanar Tempelak Bank Aniaya Pengguna
KUALA LUMPUR, 17 Oktober 2025 – Satu lagi suara rakyat marhaen bergema di hadapan Public Bank Cawangan Kampung Attap apabila Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) yang diketuai oleh aktivis sosial Dato’ Dr Kalaivanar tampil memperjuangkan hak sepasang suami isteri yang dinafikan hak mereka untuk menebus semula kenderaan sewa beli walaupun telah bersedia melunaskan bayaran penuh.
Mangsa, Mr. Uthayakumaran a/l Ramalu, 58, dan isterinya Puan Krishnan Kumary a/p Perumal, 58, sebelum ini membeli sebuah van Toyota Hiace bernilai lebih RM100,000 untuk kegunaan perniagaan mereka. Namun, akibat kemerosotan ekonomi pasca pandemik COVID-19, mereka mengalami kelewatan pembayaran selama dua bulan 21 hari, menyebabkan pihak bank menarik balik kenderaan tersebut pada 26 September 2025.
Menurut Dato’ Dr Kalaivanar, isu ini bukan sekadar soal tunggakan tetapi soal hak pengguna yang dinafikan oleh pihak bank walaupun pelanggan telah bersedia membuat bayaran penuh (full settlement) sebanyak RM25,000.
“Beliau datang sendiri ke bank pada 14 Oktober lalu dan menyatakan hasrat untuk menyelesaikan bayaran penuh, namun permintaan itu ditolak atas alasan syarikat sendirian berhad beliau sudah ditutup. Ini tidak masuk akal — yang tandatangan perjanjian ialah individu, bukan syarikat!” tegas Dato’ Dr Kalaivanar.
Tambah beliau, isu seperti ini mencerminkan betapa rakyat biasa sering menjadi mangsa buli sistem kewangan yang tidak sensitif terhadap keadaan semasa ekonomi rakyat.
“Kita bukan menolak peraturan, tapi bila pengguna sendiri sanggup bayar, bank patut bantu, bukan ambil kesempatan untuk lelong dan kaut untung dari kenderaan rakyat,” katanya lagi.
Demonstrasi aman yang dijalankan selama lebih satu jam itu turut mendapat perhatian pihak pengurusan bank. Hasil perbincangan, seorang pegawai kanan, Encik Albert, tampil memberi jaminan bahawa kes ini akan dianggap sebagai “special case” dan van tersebut akan dikembalikan kepada pemilik asal selepas proses dokumentasi selesai.
“Saya ucap terima kasih kepada team dan semua media yang bantu. Saya puas hati, bank janji akan bagi surat rasmi hari Selasa ini,” kata Mr. Uthayakumaran dengan penuh kelegaan.
Dalam pada itu, Dato’ Dr Kalaivanar turut mengumumkan bahawa pihaknya akan menghantar memorandum rasmi kepada Gabenor Bank Negara Malaysia dan Menteri Kewangan bagi mendesak penambahbaikan dalam Akta Sewa Beli agar kes seperti ini tidak berulang.
“Ini bukan satu kes terpencil — banyak rakyat lain jadi mangsa. Kita akan terus bersuara sehingga hak pengguna di Malaysia benar-benar dihormati,” katanya sebelum menutup perhimpunan dengan laungan “Salam NegaraKu, Salam Solidariti!”
#HakPenggunab #BahanaKesetiaanNegarab #RakyatLawanPenindasan #SolidaritiMarhaen #KeadilanUntukSemua