Pelajar 16 Tahun Ditikam Rakan Sendiri: Sekolah Tak Lagi Tempat Selamat?
KUALA LUMPUR, 18 Oktober 2025 — Suasana hiba menyelubungi lawatan Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara ke Nirvana 2 hari ini bagi menziarahi mendiang Yap Shing Xuen, pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut ditikam oleh rakan sekolahnya pada 14 Oktober lalu.
Pengerusi sekretariat, Dato’ Dr Kalaivanar, menyuarakan rasa kesal dan dukacita yang mendalam terhadap kejadian tragis itu yang disifatkan sebagai “kejadian pertama seumpamanya dalam sejarah pendidikan negara.”
“Kami amat sedih dan pilu. Budak ini cantik, berumur hanya 16 tahun. Satu insiden tikam dalam sekolah telah menggegarkan seluruh negara,” katanya ketika ditemui selepas lawatan tersebut.
Menurut beliau, insiden tersebut mencerminkan krisis moral dan kegagalan sistem pendidikan negara dalam membentuk nilai kemanusiaan serta keselamatan pelajar di sekolah.
“Apabila pelajar boleh membawa senjata ke sekolah, itu tandanya nilai moral dan kemanusiaan telah runtuh. Menteri perlu bertanggungjawab,” tegas beliau.
Dato’ Dr Kalaivanar turut mempersoalkan peranan Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, yang menurutnya masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung tragedi ini.
“Kalau di Jepun, Korea, atau negara barat — apabila perkara sebegini berlaku, menteri yang gagal urus moral dan keselamatan pelajar akan meletak jawatan. Itulah tanda tanggungjawab,” ujarnya.
Beliau juga mengaitkan insiden ini dengan beberapa kes terdahulu seperti kes Zara Qairina dan kes-kes rogol serta gangguan seksual di sekolah, yang menurutnya masih belum mendapat keadilan sepenuhnya.
“Kes Zara Qairina belum selesai, kes rogol pun banyak, sekarang kes tikam pula. Sampai bila anak-anak kita akan terus jadi mangsa?” katanya lagi dengan nada kecewa.
Dalam pada itu, beliau turut menegur pemimpin negara termasuk Perdana Menteri dan barisan kabinet supaya tidak mengabaikan isu keselamatan pelajar yang semakin membimbangkan.
“Ibu bapa hantar anak ke sekolah untuk belajar, bukan untuk mati. Sudah tiba masanya Parlimen bahas isu keselamatan sekolah secara serius dan menyeluruh,” tambahnya.
Dato’ Dr Kalaivanar turut menggesa agar satu siasatan menyeluruh dilakukan terhadap sistem keselamatan sekolah, termasuk prosedur tapisan (vetting) pengawal keselamatan yang menurut beliau masih lemah.
“Kalau pengawal keselamatan sendiri tidak disaring dengan betul, bagaimana nak jaga keselamatan pelajar?” soalnya.
Beliau menutup kenyataan dengan seruan agar Menteri Pendidikan segera meletakkan jawatan sebagai tanda tanggungjawab moral dan keprihatinan terhadap tragedi yang meragut nyawa pelajar tersebut.
#KeadilanUntukYapShingXuen #KesedaranMoralNegara #SekolahSelamatAnakSelamat #BahanaKesetiaanNegara #DatoDrKalaivanar