PETALING JAYA, 17 Disember 2021 – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) meneruskan inisiatif Tanggungjawab Sosial Koperasi (CSR) di bawah payung COOPCARE dengan menghulurkan sumbangan kepada ahli Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) Putrajaya yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
Penyerahan 50 pek sumbangan barang keperluan harian yang bernilai RM2,500 disempurnakan oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Dato’ Dr. Abdul Fattah Abdullah kepada Yang Dipertua PERDASAMA Putrajaya, Dato’ Sri Haji Mustafa Ali.
Dato Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, “Sejak ditubuhkan 50 tahun yang lalu, ANGKASA sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang diiktiraf oleh kerajaan sentiasa mengambil berat kebajikan anggota koperasi selaras dengan prinsip dan falsafah koperasi. Prinsip koperasi ketujuh, MENGAMBIL BERAT TERHADAP MASYARAKAT merupakan inspirasi buat ANGKASA untuk sentiasa keterhadapan dalam menghulurkan bantuan kepada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang politik, agama serta budaya.”
ANGKASA amat mengesyorkan persatuan atau pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) menubuhkan koperasi dan memulakan perniagaan secara kolektif bagi memberi peluang kepada anggotanya mengumpul modal dan menggembleng tenaga secara bersama-sama untuk menceburi bidang keusahawanan sosial yang bukan sahaja akan memberi perolehan malah menyediakan kebajikan dan manfaat kepada anggota,
Menurut statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), sehingga Disember 2020, terdapat 663 buah koperasi fungsi usahawan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia ini dengan keanggotaan sejumlah 174,624 orang, modal syer dan yuran, RM231.1 juta, nilai aset RM1.02 bilion dan perolehan sebanyak RM287.64 juta.
Presiden ANGKASA juga turut menyeru koperasi dan bukan koperasi mempelbagaikan perniagaan dengan meneroka sektor peruncitan menerusi Projek Barang Asas (BA100) ANGKASA BA100 adalah platform perniagaan e-dagang yang menjual barang keperluan harian secara dalam talian. Ini membolehkan pengurangan orang tengah dalam rantaian bekalan yang membolehkan koperasi menawarkan harga barangan yang lebih kompetitif kepada pengguna. Pembelian secara pukal menerusi pembekal yang berdaftar di bawah program BA100 menerusi platform jimatbiz.com akan membantu menurunkan harga barang dan menawarkan pembekalan barang asas keperluan harian dengan lebih kompetitif kepada pengguna menerusi platform jimatshop.com