Kuala Lumpur, 16 Disember 2021 – Yayasan Patriotik Bangsa (YPB) menganjurkan Majlis Pra-Pelancaran Album Kompilasi “Tinta Emas Perdana Menteri” yang disempurnakan oleh YB Datuk Zahidi Zainul Abidin, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Majlis tersebut juga akan disertai oleh beberapa orang tetamu jemputan dan para penyumbang. Ketibaan para tetamu jemputan dan Tetamu Utama akan disambut oleh YBhg Datuk Yazid Othman selaku Pengerusi Yayasan Patriotik Bangsa merangkap Pengerusi Penganjur Program Album Kompilasi. Penerbitan Album “Kompilasi Tinta Emas Perdana Menteri” ini adalah kompilasi coretan kejayaan individu-individu yang telah memimpin negara sejak merdeka lagi. la adalah bagi mendekatkan masyarakat untuk mengenali jasa-jasa dan sumbangan bakti sosok setiap individu yang telah dan sedang memimpin negara sebagai Perdana Menteri Malaysia bermula dari era pentadbiran Almarhum YT Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj hingga pimpinan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob. Album ini juga diterbitkan untuk menghargai jasa, mengenang perjuangan serta pengorbanan mereka sebagai Perdana Menteri Malaysia dalam menegakkan kedaulatan negara, keamanan, kestabilan, kemakmuran dan menjaga kepentingan masyarakat majmuk di Malaysia yang berbilang bangsa dan agama agar kekal hidup dalam keadaan aman damai.
Di samping itu juga album ini turut memaparkan kejayaan dan pembangunan yang dilalui oleh Malaysia di era pentadbiran tokoh-tokoh Perdana Menteri Malaysia ini dalam melangkah dan mencorak kehidupan serta menjana pelbagai kemajuan serta pencapaian.
Penerbitan Album Kompilasi Tinta Emas Perdana Menteri” ini adalah selari dengan objektif penubuhannya sebagai satu badan yayasan yang dapat menyemai benih dan semangat serta kefahaman mengenai patriotisme dalam kalangan rakyat negara ini khususnya kaum belia dan kanak-kanak yang di bangku persekolahan, dengan harapan akan timbul kesedaran dan cintakan tanahair dalam diri mereka.
Naskhah album ini dijangka siap sepenuhnya dan akan dilancarkan pada bulan Mei 2022. Pihak YPB juga mensasarkan penerbitan pertama album ini sebanyak 500 buah album dan akan diedarkan di beberapa institusi pendidikan dan institusi kerajaan serta kepada beberapa orang tokoh yang dikenalpasti.