PETALING JAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Universiti Antarabangsa UNITAR hari ini melancarkan Pusat Satelit MYFutureJobs, di kampus institusi pengajian tinggi swasta tersebut di Kelana Jaya.
Pusat satelit tersebut bertujuan membantu pelajar, graduan baru dan pencari kerja dalam prospek mencari kerjaya yang kukuh. Inisiatif ini merupakan satu usaha bagi memperluaskan akses perkhidmatan pekerjaan akibat kesan negatif pandemik COVID 19.
Dengan pelancaran tersebut Universiti Antarabangsa UNITAR menjadi universiti swasta pertama di Malaysia untuk menubuhkan Pusat Satelit MYFutureJobs PERKESO secara fizikal.
Kerjasama antara PERKESO dan Universiti Antarabangsa UNITAR ini akan membuka peluang baharu kepada UNITAR dari segi memudahkan pelajar, alumni dan pencari kerja lain dalam meneroka pilihan kerjaya mereka.
Pusat satelit ini juga diharapkan dapat menawarkan pelbagai program kebolehpasaran kepada para pengunjung seperti sesi pemprofilan pencari kerja, temu duga terbuka, khidmat nasihat kerjaya dan banyak lagi. Program-program ini berhasrat untuk memperkasakan semua pencari kerja dengan meningkatkan keyakinan mereka dalam proses pencarian pekerjaan.
Majlis pelancaran Pusat Satelit MyFutureJobs itu telah disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.
“Kerjasama ini akan mewujudkan satu ekosistem pasaran buruh yang lebih efisien yang memberi manfaat besar bukan sahaja kepada para pelajar dan graduan untuk lebih bersedia memasuki pasaran pekerjaan, tetapi juga kepada para pencari kerja dalam kalangan masyarakat setempat sebagai calon yang dicari majikan untuk mengisi jawatan kosong, katanya di majlis pelancaran itu.
Dalam menegaskan kepentingan MYFuture Jobs kepada pasaran buruh negara, beliau berkata pada tahun 2020 sahaja, PERKESO telah melaksanakan penempatan pekerjaan untuk 269,704 orang pencari kerja menerusi portal MYFutureJobs dan sehingga 13 Disember 2021, sebanyak 450,083 peluang pekerjaan yang masih aktif ditawarkan kepada lebih 833,529 pencari kerja yang berdaftar di MYFutureJobs.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Antarabangsa UNITAR Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Sri Ir. Dr Sahol Hamid Bin Abu Bakar berkata university tersebut berbangga menjadi institut pengajian tinggi swasta pertama di Malaysia yang menubuhkan Pusat Satelit MYFutureJobs secara fizikal di kampus induknya.
Ini adalah usaha penting dalam situasi yang tidak menentu ini. UNITAR dan PERKESO, di bawah Kementerian Sumber Manusia, akan bekerjasama dan menggembleng tenaga untuk meningkatkan kebolehpasaran di kalangan graduan UNITAR dan kumpulan yang terjejas. Kami yakin Pusat Satelit MYFutureJobs ini mampu menyediakan peluang penempatan pekerjaan yang luas dan bermanfaat,” katanya di majlis pelancaran Pusat Satelit tersebut.
PERKESO dan Universiti Antarabangsa UNITAR percaya bahawa kewujudan pusat satelit itu bukan sahaja akan memudahkan laluan kerjaya seseorang, malah ia juga akan terus menjadi rujukan kepada sesiapa yang mencari maklumat berkaitan pasaran buruh dan peluang pekerjaan yang ditawarkan di Portal MYFutureJobs. Pusat satelit ini berharap dapat merealisasikan matlamatnya yang lebih besar demi menyediakan peluang kepada setiap pencari kerja untuk berdikari.