KUALA LUMPUR, 7 November — Suasana di Mahkamah Tinggi semalam menjadi tegang dan mencetuskan tanda tanya besar apabila saksi kedua dalam kes saman sivil melibatkan SRC International, Dr. Syamsul Anwar, mantan Ketua Pegawai Eksekutif Insan Perdana Sdn. Bhd., tampil dengan keterangan yang mencetuskan kehairanan ramai — termasuk mereka yang hadir mengikuti perbicaraan secara langsung.

Menurut aktivis kebenaran, Hasnan Hasnie, yang hadir mengikuti prosiding tersebut, Dr. Syamsul memaklumkan bahawa beliau sendiri memasukkan sejumlah besar wang ke dalam satu akaun peribadi yang kemudiannya dikenal pasti milik Datuk Seri Najib Razak, namun tanpa pengetahuan beliau ketika itu bahawa akaun itu milik bekas Perdana Menteri tersebut.

“Dia masukkan duit tiga kali – RM10 juta, RM5 juta dan RM27 juta – ke satu akaun private yang hanya ada nombor sahaja. Arahan diberi oleh Un Su Ling dan Denise, yang ketika itu dikaitkan dengan Yayasan Rakyat 1Malaysia,” jelas Hasnan dalam satu sesi perkongsian.


Kenyataan itu mengejutkan ramai apabila Dr. Syamsul turut memaklumkan bahawa beliau hanya mengetahui identiti sebenar pemilik akaun tersebut selepas direman empat hari oleh SPRM pada tahun 2018 — empat tahun selepas transaksi itu dilakukan.

Lebih mengejutkan, saksi pertama dalam kes ini, Un Su Ling, sebelum ini memberi keterangan bahawa arahan asal datang daripada Tan Sri Azlin, yang kini telah meninggal dunia. Namun, menurut Dr. Syamsul, beliau menerima arahan daripada Nik Faisal untuk memindahkan dana melalui syarikat Insan Perdana Sdn. Bhd., sebelum diarahkan oleh Un Su Ling dan Denise untuk memasukkannya ke akaun berkenaan.

Hasnan berkata, keterangan bercanggah itu menimbulkan persoalan besar tentang siapa sebenarnya yang bertanggungjawab mengarahkan transaksi berjumlah RM40 juta tersebut.

“Kita dalam mahkamah pun ternganga bila dengar. Macam mana seorang bekas CEO boleh kata tak tahu duit sebanyak tu masuk akaun Datuk Seri Najib,” katanya.


Menurut Hasnan lagi, Datuk Seri Najib sendiri dalam keterangan sebelum ini menjelaskan bahawa wang dalam akaunnya digunakan untuk tujuan CSR dan kebajikan rakyat, termasuk program pendidikan dan bantuan komuniti di Sarawak.

Namun, katanya, kejanggalan tetap wujud kerana individu yang memindahkan dana itu sendiri tidak mengetahui pemilik sebenar akaun berkenaan.

“Bila duit tu dah ada, Najib guna untuk kebajikan. Tapi yang masukkan duit pun tak tahu tu akaun siapa. Macam ada misteri dalam sistem,” tambah Hasnan.


Kes ini akan bersambung pada 25, 26, 27 dan 28 November ini, dan dijangka menarik perhatian ramai apabila saksi-saksi utama seterusnya tampil memberi keterangan.

#SRC #1MDB #NajibRazak #MahkamahMalaysia #KebenaranTerbongkar #Bosku #IsuSemasa #KisahSebenar #PolitikMalaysia #AATVMedia

Leave a Reply