KUALA LUMPUR, 12 November 2025 – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan semakin ramai peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tampil membuat aduan selepas didakwa diganggu oleh syarikat debt collector yang dikatakan dilantik bagi mengutip bayaran balik pinjaman pendidikan.
Menurut aktivis PPIM, Kak Jan, pihaknya menerima banyak laporan daripada peminjam yang mendakwa dihubungi oleh individu tidak dikenali yang menuntut bayaran hutang dengan jumlah yang meningkat mendadak tanpa penjelasan munasabah.
“Kami hairan, fungsi PTPTN sepatutnya untuk membantu pelajar, bukannya menekan mereka selepas tamat belajar. Ada yang berhutang RM29,000, tapi bila diserahkan kepada debt collector, jumlahnya naik jadi RM38,000,” jelas Kak Jan.
Seorang mangsa yang ditemubual turut mengesahkan perkara itu. Katanya, jumlah hutangnya meningkat hampir RM10,000 selepas dipindahkan kepada ejen kutipan hutang.
Lebih mengejutkan, terdapat kes peminjam yang terpaksa meminjam daripada ahlong untuk melunaskan bayaran kepada pihak pemungut hutang yang sering menghubungi mereka berkali-kali setiap hari.
“Debt collector ni call berpuluh kali sehari. Sampai ada yang tak tahan tekanan, terpaksa pinjam ahlong untuk bayar hutang PTPTN. Ini sangat tidak wajar,” tegas Kak Jan.
Beliau menegaskan bahawa tujuan asal PTPTN diwujudkan adalah untuk membantu pelajar-pelajar melanjutkan pelajaran, bukan menambah beban kepada rakyat yang sudah sedia tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi.
Kak Jan turut menyeru menteri yang menjaga portfolio PTPTN agar mengambil tindakan segera menyiasat isu ini serta meneliti semula penggunaan syarikat kutipan hutang yang menindas rakyat.
“Saya harap menteri yang bertanggungjawab cakna. Ramai graduan masih belum mendapat pekerjaan tetap, bagaimana mereka nak bayar balik? Kalau betul pendekatannya, mereka pasti akan bayar,” ujarnya.
Sebagai langkah sokongan, PPIM turut membuka talian aduan khas bagi peminjam PTPTN yang merasa tertekan atau diganggu oleh debt collector.
Mereka boleh menghubungi talian 013-6116666 untuk mendapatkan bantuan dan rundingan.
“Daripada anda terus ditekan dan diburu oleh debt collector, hubungi kami. InsyaAllah kita akan cuba bantu dan cari penyelesaian bersama,” tambahnya.
#PTPTN #DebtCollector #IsuRakyat #PPIM #PeminjamTeraniay #KosSaraHidup #BantuanPelajar #KeadilanUntukRakyat #AhlongModen #SuaraPengguna