Data Bocor? Aktivis Dedah Syarikat Penerima Transaksi Tidak Wujud!
KUALA LUMPUR, 15 November 2025 — Seorang aktivis sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar, hari ini tampil bersama seorang mangsa penipuan transaksi bank, Wong Chooi Peng, bagi mendesak pihak berkuasa termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), CIMB Bank dan PDRM memberikan penjelasan segera mengenai isu 34 transaksi tidak sah yang berlaku dalam tempoh hanya dua jam melalui e-wallet Touch ‘n Go yang dipautkan kepada kad kredit CIMB mangsa.
Menurut Dato’ Dr. Kalaivanar, insiden ini bukan kes terpencil, sebaliknya menjadi gambaran jelas bahawa kes-kes scam kewangan semakin membarah di negara ini tanpa tindakan tegas daripada pihak berwajib.
“Setiap hari ada scam. Tapi kita tak nampak tindakan konsisten daripada pihak bank, e-wallet, atau pihak penyiasat. Kes Saudari Wong sudah tiga tahun, tapi masih tiada maklum balas konkrit,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana data peribadi pelanggan boleh bocor sehingga membolehkan sindiket menjalankan puluhan transaksi tanpa TAC, tanpa sekatan automatik e-wallet dan tanpa pengesahan keselamatan daripada pihak bank.
34 Transaksi Dalam 2 Jam, Syarikat Tidak Wujud
Wong Chooi Peng, yang menetap di Sungai Chua, Kajang, berkata sebanyak 34 transaksi bernilai RM16,400 telah direkodkan dalam akaun kad kredit CIMB beliau pada 10 November 2022 — kesemuanya dibuat kepada beberapa nama syarikat yang tidak wujud dalam rekod SSM.
“Saya telah membuat laporan polis, saya rujuk kepada CIMB, tetapi sehingga sekarang pihak bank seolah-olah cuba melepaskan tanggungjawab walaupun bukti jelas menunjukkan transaksi itu bukan saya lakukan,” katanya.
Lebih mengejutkan, menurut Wong, jumlah tuntutan dalam penyata kad kredit beliau kini meningkat kepada RM23,612 akibat caj lewat bayar dan faedah walaupun kes masih dalam siasatan.
Mangsa Tekanan, Nama Masih Disenarai Dalam CCRIS
Dato’ Dr. Kalaivanar berkata kelewatan pihak bank, e-wallet dan penyiasat bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, tetapi menimbulkan tekanan mental yang berat kepada mangsa.
“Beliau kini menanggung trauma. Nama pun masih dalam CCRIS, jadi beliau tak boleh buat apa-apa pinjaman. Ini bukan salah dia, tapi mangsa yang dihukum,” jelasnya.
Beliau turut mendakwa wujud kemungkinan sindiket dalaman yang membocorkan data pelanggan kepada pihak luar.
Desak Tindakan Dalam 30 Hari
Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara menuntut:
- CIMB Bank menanggung kerugian mangsa menggunakan polisi insurans bank.
- BNM, CIMB dan IPD Kajang memberikan jawapan bertulis dalam masa 30 hari.
- Nama Wong Chooi Peng dikeluarkan daripada CCRIS segera.
- Polis menjalankan siasatan menyeluruh termasuk sumber kebocoran data dan ketulenan syarikat penerima transaksi.
Dato’ Dr. Kalaivanar turut memberi amaran bahawa pihaknya bersedia menggerakkan demonstrasi aman besar-besaran di hadapan Bank Negara Malaysia sekiranya isu ini terus dipandang remeh.
“Ini bukan soal seorang mangsa. Ini soal keselamatan kewangan rakyat Malaysia. Kalau lebih ramai tampil, kita akan turun jalan. Ini hak rakyat,” katanya.
Mangsa serta aktivis turut menyeru lebih ramai individu yang menghadapi kes serupa tampil mendapatkan bantuan.
#AATV #ScamMalaysia #MangsaScam #KebocoranData #KewanganSelamat #CIMBBank #BankNegaraMalaysia #KeadilanUntukMangsa #PenipuanOnline #SuaraRakyat