KUALA LUMPUR — Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semakin hampir, kenyataan Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan, mencuri perhatian apabila beliau mengulas isu persepsi terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), yang semakin hangat diperkatakan di media sosial.

Beliau diminta mengulas soal wartawan mengenai dakwaan bahawa tindakan dan kenyataan PMX semakin dipertikaikan, termasuk video-video lama yang kembali tular dan mencetuskan kritikan netizen.

Dr. Azam bagaimanapun memilih untuk tidak mengulas panjang, namun menyatakan bahawa keresahan rakyat terhadap isu tersebut bukan lagi perkara baharu.

“Apa yang Kak Gee suarakan itu sebenarnya tersimpan dalam sanubari ramai rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa,” katanya.

Menurut beliau, konsep kifarah menjadi pengajaran bahawa seseorang tidak boleh menipu semua orang sepanjang masa. Namun beliau menegaskan tidak mahu membuat komen lanjut memandangkan PRN Sabah sedang berlangsung.

Dr. Azam turut menyentuh isu imej Perdana Menteri, yang dakwanya mengalami penurunan bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia, malah di peringkat ASEAN dan negara-negara Islam. Beliau merujuk laporan bahawa Malaysia tidak tersenarai dalam satu perjumpaan pemimpin negara Islam baru-baru ini di Istanbul — namun beliau tidak mengulas lanjut kesahihan atau konteks perkara itu.

Dalam masa yang sama, beliau menjangka bahawa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berkemungkinan besar akan diadakan pada tahun hadapan.

“Sama ada awal, pertengahan atau serentak dengan Johor dan Melaka — kita tunggu. UMNO dan Barisan Nasional mesti pandai membawa diri,” katanya.

Apabila ditanya sama ada PMX dijangka meletakkan jawatan sebelum tamat penggal, Dr. Azam menjawab bahawa tiada sebab untuk berbuat demikian.

“Beliau ada sokongan dua pertiga. Tapi saya lebih bimbangkan tentang masa depan negara, terutama berkaitan perjanjian Malaysia–AS. Itu lebih berat,” katanya.

Beliau mengakhiri responnya dengan menyatakan bahawa soal masa depan negara dan kepimpinan adalah “urusan Tuhan” dan mendoakan yang terbaik untuk Perdana Menteri dan keluarganya.

#AATVNews #PolitikMalaysia #PMX #UMNO #KerajaanMadani #IsuSemasa #PRN2025 #PRU16 #AnalisisPolitik #RakyatMalaysia

Leave a Reply