KUALA LUMPUR, 22 November 2025 — Harga minyak sawit mentah (CPO) dijangka mencatat peningkatan sehingga 10% pada awal 2026, berikutan peralihan pelabur global daripada pasaran ekuiti ke pasaran komoditi susulan kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS).
Naib Presiden Kanan dan Strategis Pasaran, Nik Ihsan Raja Abdullah, berkata pergerakan pasaran ketika ini menunjukkan wujudnya asset rotation, apabila pelabur memilih komoditi termasuk minyak sawit sebagai aset lindung nilai berbanding saham global.
Menurutnya, penyusutan dolar AS turut memainkan peranan penting dalam mengangkat harga minyak sayuran dunia, sekali gus membuka ruang kenaikan bagi minyak sawit.
“Kesimpulannya, harga minyak sawit berpeluang membuat kenaikan pada awal tahun depan. Ketika ini harga terkumpul sekitar RM4,000, dan lima tahun lalu corak sama berlaku apabila dolar AS melemah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah bertajuk “Satu Pandangan Berstruktur dan Teknikal: Trend Harga Minyak Sawit dan Kitaran Pasaran Komoditi” sempena Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2025, anjuran MPOB di KLCC.
Nik Ihsan menjangkakan harga CPO akan berlegar antara RM4,100 hingga RM4,500 pada separuh pertama 2026, berdasarkan kontrak bulan ketiga di Bursa Derivatif Malaysia, sekali gus menandakan potensi kenaikan jangka pendek yang lebih kukuh.
Bagaimanapun, beliau memberi peringatan bahawa pengukuhan ringgit boleh memberi tekanan kepada eksport kerana ia menjadikan minyak sawit Malaysia lebih mahal di pasaran global.
“Trend ini menunjukkan potensi kenaikan. Kali terakhir dolar AS melemah ialah pada Oktober 2024, tetapi tempohnya dijangkakan hanya sekejap,” jelasnya.
#MinyakSawit #CPO2026 #EkonomiGlobal #DolarAS #MPOB #PIPOC2025 #KomoditiMalaysia #HargaSawit #PasaranDunia #AATVNews