KUALA LUMPUR – Musim banjir yang melanda beberapa kawasan di negara ini bukan sahaja mengganggu kehidupan seharian penduduk, malah turut meningkatkan risiko pelbagai penyakit berbahaya.
Menurut pakar kesihatan, kesedaran mengenai langkah penjagaan diri sepanjang musim banjir amat penting bagi mengelakkan jangkitan yang boleh mengancam nyawa.
Menurut Dr Afif Mohd Ridzwan, air banjir lazimnya tercemar dan menjadi medium penyebaran pelbagai bakteria serta virus.
Beliau berkata, antara penyakit yang sering berlaku semasa banjir termasuk kencing tikus, demam kepialu, taun dan cirit-birit, yang semuanya berpunca daripada pendedahan kepada air kotor.
Katanya, air banjir bukan hanya membawa risiko penyakit yang berkaitan dengan bakteria, tetapi juga boleh meningkatkan risiko jangkitan paru-paru, terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada atau sistem imun yang lemah.
Selain itu, faktor persekitaran semasa banjir turut mewujudkan keadaan lembap yang sesuai untuk serangga membiak.
“Nyamuk Aedes, yang menjadi punca demam denggi, juga adalah ancaman utama ketika musim banjir.
“Masalah kulit seperti gatal-gatal, jangkitan pada luka, kurap dan pelbagai penyakit kulit lain juga mudah berlaku apabila seseorang terdedah kepada air banjir yang tercemar,” katanya.
Dr Afif, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain berkata, langkah pencegahan penyakit semasa banjir adalah tanggungjawab bersama dan tidak boleh diambil mudah.
“Kesedaran dan langkah pencegahan adalah kunci. Jangan pandang remeh risiko penyakit semasa banjir walaupun ia nampak kecil,” katanya.
Mengulas cabaran yang dihadapi mangsa banjir, beliau berkata keadaan di pusat pemindahan sementara sering memerlukan pengurusan kebersihan yang lebih teliti.
Justeru, aspek kesihatan harus sentiasa diutamakan.

Beliau menasihatkan supaya makanan dipastikan bersih dan air diminum hanya setelah dimasak dengan sempurna.
Katanya, pendedahan kepada air tercemar boleh meningkatkan risiko cirit-birit dan keracunan makanan.
Bagi individu yang mempunyai luka, Dr Afif berkata, perlunya rawatan segera bagi mengelakkan kuman memasuki tubuh melalui kawasan luka.
“Rawat luka dengan segera jangan biarkan air banjir atau kuman masuk,” katanya.
Beliau turut menyaran supaya orang ramai mengelakkan amalan berkongsi gelas atau pinggan bagi mengurangkan risiko penyebaran jangkitan, terutama di pusat pemindahan banjir.
Selain itu, apabila cuaca mengizinkan, penduduk perlu memeriksa kawasan sekitar kediaman atau pusat pemindahan bagi memastikan tiada air bertakung yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Dr Afif turut mengingatkan orang ramai bahawa menjaga kesihatan ketika banjir bukan sekadar langkah pencegahan, tetapi suatu keperluan penting bagi mengelakkan komplikasi kesihatan yang lebih serius.