KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari menyuarakan kekecewaan dan kebimbangan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang menolak pelaksanaan titah tambahan (addendum) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, sambil menyifatkan keputusan itu bercanggah dengan prinsip dan proses perundangan yang telah diputuskan sebelum ini.
Rosni berkata beliau sebenarnya telah menjangkakan keputusan tersebut walaupun dari sudut undang-undang, bekas Perdana Menteri itu sepatutnya layak menerima pengampunan dan menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
“Saya cuba hadam keputusan hari ini, terutama alasan yang diberikan hakim. Pada saya, alasan itu bercanggah dengan kes-kes terdahulu dan secara tidak langsung menjejaskan keyakinan serta kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan negara,” katanya kepada AATV News.
Menurut beliau, kewujudan titah addendum itu telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dan disahkan oleh Mahkamah Persekutuan, sekali gus menjadikan asas perundangan untuk kes tersebut dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi bagi tujuan pelaksanaan.
“Isunya bukan lagi soal wujud atau tidak wujud titah addendum kerana perkara itu telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
“Namun hari ini, Mahkamah Tinggi membuat keputusan untuk tidak melaksanakan titah tersebut,” katanya.
Rosni menegaskan keadaan itu menimbulkan persoalan serius dalam kalangan pengamal undang-undang kerana keputusan Mahkamah Tinggi dilihat tidak mengguna pakai keputusan mahkamah yang lebih tinggi.
“Sekarang persoalannya, nak bawa ke mahkamah mana lagi? Kita telah melalui keseluruhan proses perundangan berkaitan kewujudan titah itu. Secara peribadi, saya sudah tidak meletakkan harapan lagi,” katanya.
Beliau turut menggesa barisan peguam Najib supaya mengambil langkah sewajarnya susulan keputusan itu bagi mengelakkan timbulnya keresahan rakyat, khususnya berkaitan kedudukan dan hak Raja-Raja Melayu.
“Jangan sampai rakyat bangkit mempersoalkan mengapa hak Raja-Raja dipertikaikan. Hak Raja-Raja termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 42,” katanya.
Dalam nada peribadi, Rosni turut meluahkan kekecewaan kerana sebelum ini beliau mengharapkan Najib dapat menjalani tahanan rumah dan diraikan bersama keluarga.
“Saya telah memasak patin tempoyak dari Kuala Lipis, rendang kijang dan sambal udang galah untuk meraikan keputusan hari ini. Namun apa yang berlaku amat mendukacitakan,” katanya.