
SELAYANG, 24 Disember 2025 – Yayasan Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) terus komited dalam menyantuni golongan kurang berkemampuan menerusi Program Kembali ke Sekolah 2026, dengan sasaran membantu seramai 10,000 pelajar di seluruh Semenanjung Malaysia sepanjang tahun hadapan.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dilaksanakan bagi meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga menjelang sesi persekolahan baharu, khususnya melibatkan keluarga berpendapatan rendah, melalui sumbangan beg sekolah serta kelengkapan persekolahan asas.


Bagi pelaksanaan di Zon 10 Majlis Perbandaran Selayang (MPS), seramai 500 pelajar sekolah rendah dan menengah dari kawasan Selayang telah dipilih sebagai penerima manfaat. Program berkenaan berlangsung di Dewan Sri Siantan, Jalan Sungai Tua, sekali gus mencerminkan keprihatinan berterusan Yayasan PEKEMA terhadap kebajikan pendidikan komuniti setempat.


Program ini dianjurkan oleh Yayasan PEKEMA dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Zon 10 MPS serta Kelab Sukan dan Rekreasi PEKEMA (KRESMA), sebagai manifestasi usaha kolektif pelbagai pihak dalam memastikan kebajikan pelajar terus diberi perhatian.

Majlis penyerahan sumbangan rasmi telah disempurnakan dengan kehadiran Yang Berhormat YB Puan Anfaal binti Saari, Exco Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Taman Templer, bersama barisan kepimpinan PEKEMA, wakil agensi kerajaan, rakan strategik serta para penerima manfaat.


Presiden PEKEMA, Datuk Haji Mohamed Nazari bin Noordin, berkata program berkenaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan PEKEMA dan Yayasan PEKEMA dalam melaksanakan inisiatif yang memberi impak langsung kepada masyarakat.
Menurut beliau, bagi tahun 2026, PEKEMA menyasarkan seramai 10,000 pelajar untuk menerima manfaat sumbangan pendidikan secara berperingkat di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Menjelang sesi persekolahan baharu, masih ramai ibu bapa dan penjaga berdepan cabaran kewangan. Justeru, sumbangan ini diharap dapat meringankan beban mereka serta menyemai kesedaran bahawa pendidikan merupakan aset terpenting dalam membina masa depan negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa PEKEMA, sebagai organisasi yang mewakili pemain industri automotif Bumiputera, bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan keusahawanan, malah amat menitikberatkan aspek kebajikan, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat.
Sementara itu, Tuan Haji Ahmad Zahiri bin Zahid Sofian, Ahli Majlis Zon 10 MPS, berkata kolaborasi antara Yayasan PEKEMA, Pusat Khidmat Masyarakat Zon 10 MPS dan KRESMA membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam memastikan kebajikan masyarakat setempat terus diberi keutamaan.
“Sebagai Ahli Majlis Zon 10, saya komited memastikan program seperti ini memberi manfaat berterusan kepada masyarakat, khususnya pelajar. Usaha ini diyakini mampu menyokong pembangunan generasi muda yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Program Kembali ke Sekolah 2026 ini turut mendapat sokongan padu daripada ahli-ahli PEKEMA, para sukarelawan serta rakan strategik, sekali gus memperlihatkan semangat kerjasama dalam menjadikan kebajikan masyarakat sebagai keutamaan bersama.
#YayasanPEKEMA #KembaliKeSekolah2026 #PendidikanUntukSemua #CSRBerimpak #PEKEMAPrihatin #BantuanPendidikan #AnakMalaysia #Selayang #AATVMedia #PrihatinMasyarakat