KUALA LUMPUR, 4 Januari 2026 — Menteri Pendidikan, Puan Fadhlina Sidek menyifatkan program bantuan persekolahan yang dianjurkan di Parlimen Bandar Tun Razak sebagai satu inisiatif yang sangat bermakna dalam memastikan kesiapsiagaan anak-anak dan meringankan beban ibu bapa menjelang sesi persekolahan baharu Januari 2026.
Menurut beliau, program yang dihadiri oleh YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail itu memberi manfaat besar khususnya kepada murid-murid daripada keluarga kurang berkemampuan yang bakal memulakan sesi persekolahan dalam tempoh terdekat.

“Program ini bukan sahaja membantu dari sudut persiapan awal persekolahan, malah mencerminkan keprihatinan dan komitmen kerajaan MADANI dalam memastikan akses pendidikan yang adil untuk semua anak-anak,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Fadhlina turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Bandar Tun Razak serta Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato’ Azman, selain memuji peranan sebuah yayasan kebajikan yang disifatkan beliau sebagai “sangat menakjubkan” dalam membantu kesinambungan pendidikan kanak-kanak menerusi bantuan persekolahan.
Lebih menarik, yayasan berkenaan, ERM (Every Child Matters) diasaskan oleh seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, sekali gus menjadi simbol bahawa usaha kebajikan dan kepedulian sosial tidak mengenal usia.
Pada program tersebut, sebanyak 800 penerima menerima bantuan pada hari berkenaan, manakala keseluruhan penerima bantuan persekolahan di Parlimen Bandar Tun Razak mencecah 5,000 orang, melibatkan sumbangan keperluan asas persekolahan kepada murid-murid.
Dalam pada itu, Fadhlina menegaskan bahawa tahun 2026 merupakan tahun yang amat penting buat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berikutan beberapa perubahan dan penambahbaikan utama, termasuk pengembalian sesi persekolahan ke bulan Januari serta pelaksanaan awal kurikulum prasekolah, yang sepatutnya bermula pada 2027.
“Kita juga akan melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu pada Januari ini. Fokus utama KPM ketika ini adalah memastikan minggu pertama persekolahan berjalan lancar kerana ia sangat penting dalam membentuk pengalaman awal murid,” jelas beliau.
Sementara itu, pengasas ERM, Xin Er, berkata program tersebut bertujuan membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dengan menyediakan keperluan asas seperti makanan dan barangan persekolahan, selain memberi sokongan kepada ibu bapa.
“ERM membawa maksud Every Child Matters. Kami berharap program ini dapat diteruskan setiap tahun agar lebih ramai kanak-kanak dapat dibantu,” katanya, sambil memaklumkan bahawa seramai 1,800 pelajar telah menerima manfaat dengan nilai sumbangan mencecah RM240,000.
Program ini jelas membuktikan kerjasama erat antara wakil rakyat, kerajaan dan masyarakat mampu memberi impak besar terhadap masa depan pendidikan anak-anak negara.
#BeritaAATV #PendidikanMalaysia #KerajaanMADANI #FadhlinaSidek #BandarTunRazak #BantuanPersekolahan #EveryChildMatters #ERM #PendidikanUntukSemua #AnakMalaysia
