SEPANG – Masyarakat diseru agar menjadikan amalan tabayyun sebagai prinsip utama dalam kehidupan seharian bagi membendung penularan maklumat palsu yang semakin berleluasa, khususnya melalui media sosial.

Langkah menyemak dan menilai kesahihan sesuatu berita dilihat amat penting dalam memastikan keharmonian sosial dan kestabilan negara terus terpelihara.

Pakar sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kemajuan teknologi digital dan media sosial telah membuka ruang luas kepada masyarakat untuk mengakses pelbagai maklumat dengan mudah dan pantas.

Namun, beliau menegaskan bahawa keterbukaan platform digital juga membawa risiko apabila maklumat disebarkan tanpa melalui tapisan atau pengesahan yang sewajarnya.

Menurut beliau, ketiadaan kawalan menyeluruh terhadap kandungan dalam talian menyebabkan orang ramai terdedah kepada maklumat yang tidak tepat, mengelirukan dan bersifat palsu.

Justeru, setiap individu perlu memainkan peranan aktif dengan menilai kebenaran sesuatu maklumat sebelum menerimanya sebagai fakta.

“Maklumat yang diterima tidak boleh diterima bulat-bulat tanpa semakan daripada sumber yang sahih dan berautoriti.

“Sikap bertanggungjawab dalam menapis maklumat amat penting kerana kegagalan mengamalkan tabayyun boleh memberi kesan buruk kepada individu dan masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, penyebaran maklumat palsu sering dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk memenuhi kepentingan peribadi dan agenda tersembunyi.

Situasi ini, jelasnya, menjadikan maklumat sebagai senjata berbahaya yang mampu mempengaruhi pemikiran masyarakat tanpa disedari.

Tambah beliau, kesan maklumat palsu pada masa kini jauh lebih meruncing kerana ia mampu memesongkan persepsi awam tanpa memerlukan kekerasan fizikal, sekali gus mewujudkan apa yang disifatkan sebagai penjajahan minda.

Fenomena ini boleh merosakkan struktur sosial, mencemarkan reputasi individu dan melemahkan kepercayaan dalam kalangan masyarakat.

Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar turut mengingatkan bahawa kegagalan mengekang penyebaran berita palsu boleh mengancam kestabilan negara dan keharmonian masyarakat.

Oleh itu, beliau menekankan keperluan untuk memupuk kesedaran secara berterusan agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak berasas.

“Setiap maklumat perlu dinilai dari sudut kebenaran dan manfaatnya kepada pembangunan diri serta kesejahteraan negara.

“Amalan tabayyun harus dijadikan budaya agar masyarakat lebih bijak, beretika dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran era digital,” katanya.

By Cynthia

Leave a Reply