KUALA LUMPUR – Indonesia pernah digemparkan dengan kes penganiayaan kejam terhadap seorang remaja, David Ozora, yang dibelasah sehingga koma dalam tempoh yang lama.
Insiden yang berlaku pada tahun 2023 itu bukan sekadar meninggalkan kesan fizikal kepada mangsa, malah mencetuskan kemarahan awam serta membuka perbincangan luas mengenai keadilan, penyalahgunaan kuasa dan keberanian rakyat bersuara menentang ketidakadilan.
Berpaksikan kisah benar yang menggoncang negara itu, sebuah filem berjudul Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel diterbitkan bagi mengangkat tragedi itu dalam konteks yang lebih mendalam.
Filem ini tidak hanya memfokuskan kepada peristiwa penganiayaan, sebaliknya menyelami isu ketidakseimbangan sistem perundangan, keistimewaan golongan berkuasa, serta perjalanan psikologi dan spiritual sebuah keluarga yang terkesan akibat keganasan.

Filem ini diarahkan oleh Umbara Brothers, iaitu Anggy Umbara dan Bounty Umbara, serta diterbitkan oleh Umbara Brothers Film dengan kerjasama VMS Studio, 786 Entertainment, Rumpi Entertainment, Makara Production, A&Z Films dan Dbay Film Factory.
Projek ini turut menandakan kerjasama semula Anggy dan Bounty sebagai pengarah selepas sekian lama tidak mengarahkan filem bersama.
Menurut Anggy Umbara, idea awal pembikinan filem ini tercetus daripada Bounty Umbara dan sejak peringkat awal perancangan, kedua-duanya sudah sependapat tentang hala tuju penceritaan.
Katanya, kes David Ozora benar-benar menggoncang Indonesia, namun masih ramai yang tidak mengetahui perjalanan psikologi dan spiritual seorang bapa yang terpaksa menyaksikan anaknya menjadi mangsa perundungan oleh anak seorang pegawai negara, sehingga peluang untuk terus hidup hanya tinggal dua peratus.

Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel mengisahkan perjuangan seorang bapa, Jonathan Latumahina, yang berusaha menegakkan keadilan selepas anaknya, David Ozora, koma akibat penganiayaan kejam seorang lelaki yang juga anak kepada pegawai kanan kerajaan.
Dalam perjuangan itu, Jonathan berdepan sistem perundangan yang dilihat berat sebelah, sedangkan pelaku menerima layanan istimewa hasil pengaruh dan kuasa bapanya.
Dibintangi barisan pelakon ternama seperti Chicco Jerikho, Muzakki Ramdhan, Erdin Werdrayana, Tika Bravani, Donny Damara, Annisa Kaila dan Mathias Muchus, filem ini dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 22 Januari 2026.

Anggy Umbara berkata, filem arahannya itu bukan sekadar memaparkan perbuatan jenayah, sebaliknya interpretasi mendalam tentang kesan psikologi dan emosi akibat perundungan serta keganasan terhadap mangsa dan insan di sekeliling mereka.
Naratif filem ini turut menelusuri perjalanan spiritual dan kekuatan dalaman seorang bapa ketika berhadapan ketidakadilan, saat anaknya koma selama puluhan hari, serta bagaimana sokongan masyarakat awam menjadi sebahagian penting dalam proses pemulihan.
Selain mengetengahkan isu keadilan dan kelemahan sistem perundangan, filem ini membawa penonton menyelami emosi watak Jonathan yang dilakonkan oleh Chicco Jerikho.

Pelakon itu mengakui bahawa watak berkenaan antara yang paling mencabar sepanjang kerjayanya kerana sarat dengan permainan emosi dan tenaga, meskipun bukan sebuah filem aksi.
Kedekatannya dengan kes sebenar menjadikan penghayatan watak itu lebih berat, sekali gus memaksanya mengawal perasaan agar kekal setia kepada realiti watak dan peristiwa sebenar.

Sebagai sebuah karya sinematik yang berakar daripada kisah benar, Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel bukan sahaja menjadi peringatan terhadap bahaya perundungan dan keganasan, malah menyoroti kekuatan solidariti masyarakat dalam menentang ketidakadilan.
Filem ini turut mengajak orang ramai memanfaatkan ruang awam dan platform digital sebagai medium untuk bersuara apabila berdepan penyalahgunaan kuasa, sekali gus menegaskan bahawa keadilan menuntut keberanian dan kesatuan suara rakyat.