
KUALA LUMPUR, 19 Januari 2026 — Penganjur Konsert Pentas RadjaWali iaitu Impian Al Fateh Sdn. Bhd., GIS Entertainment & Events serta Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) tampil memberi penjelasan rasmi berhubung insiden penutupan sistem bunyi secara mengejut semasa konsert berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya, pada 10 Januari lalu.
Insiden tersebut berlaku ketika kumpulan popular dari Indonesia, Wali Band, sedang menyampaikan lagu ke-10 berjudul Ada Gajah Di Balik Batu, sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat yang hadir. Keadaan menjadi lebih tegang apabila penganjur menjadi sasaran kecaman awam tanpa mengetahui punca sebenar kejadian.
Menurut penganjur, isu berkenaan telah menjejaskan reputasi mereka, barisan artis serta mencetuskan kekeliruan serius dalam kalangan peminat dan masyarakat umum.
Susulan itu, penganjur telah mengadakan perbincangan bersama panel peguam dan sedang meneliti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak pengurusan venue atas dakwaan kecuaian serta pelanggaran persetujuan kontrak.
Wakil penganjur, Mubarak Akhtar, menjelaskan bahawa selain faktor menghormati azan dan waktu solat Isyak, pihaknya turut berdepan beberapa isu teknikal di luar kawalan yang akhirnya membawa kepada insiden tersebut.
“Kami ingin menjawab tohmahan mengenai kelewatan acara. Kami akui berlaku sedikit kelewatan, namun ia berpunca daripada masalah teknikal yang berada di luar kawalan penganjur,” katanya.
Menurut beliau, antara punca utama ialah gangguan pada sistem penyedia tiket yang menyebabkan proses pengesahan menjadi perlahan, selain liputan internet yang lemah di dalam dewan sehingga menyukarkan penonton memaparkan kod QR tiket serta menyukarkan petugas melakukan imbasan.
“Situasi ini mengakibatkan kesesakan luar biasa di pintu masuk dan menjejaskan jadual asal persembahan. Perlu ditegaskan, kelewatan ini berpunca daripada pasukan ticketing yang dilantik oleh pihak venue, bukan daripada artis,” katanya lagi.
Mubarak turut mendedahkan bahawa hasil siasatan awal mendapati tindakan pihak pengurusan venue mematikan bekalan elektrik tepat jam 12.00 tengah malam merupakan tindakan unilateral tanpa persetujuan penganjur.
“Kami telah berunding dengan pihak Idea Live Arena serta wakil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di lokasi bagi mendapatkan kelonggaran masa sehingga jam 12.30 tengah malam supaya Wali Band dapat menyampaikan lagu penutup dengan sempurna.
“Kami sanggup menanggung sebarang penalti atau kehilangan deposit asalkan peminat berpuas hati. Keutamaan kami adalah kepuasan penonton, bukan keuntungan,” tegasnya.
Walau bagaimanapun, sebaik sahaja lagu yang sedang dinyanyikan tamat, pihak venue bertindak mematikan sistem bunyi tanpa membenarkan artis membuat pengumuman atau ucapan penutup, sekali gus mencetuskan suasana canggung dan mengecewakan penonton.
Tambah beliau, tiada sebarang klausa atau persetujuan bersama yang membenarkan penutupan sistem bunyi secara mengejut ketika persembahan sedang berlangsung.
“Mengikut Enakmen Hiburan Negeri Selangor, acara hiburan di dalam dewan dibenarkan beroperasi sehingga jam 1.00 pagi. Oleh itu, tindakan mematikan sistem bunyi pada jam 12.00 tengah malam adalah tidak berasas dan bertentangan dengan kebenaran operasi.
“Tindakan sebegini juga boleh mengundang risiko keselamatan awam kerana berpotensi mencetuskan kekecohan dan kemarahan penonton,” katanya.
Pihak penganjur kini sedang memuktamadkan jumlah kerugian termasuk kerosakan reputasi serta kerugian material sebelum membawa perkara ini ke Mahkamah.
Dalam masa sama, sebagai tanda penghargaan dan permohonan maaf kepada peminat, penganjur mengumumkan berita gembira apabila Wali Band dan Radja akan dibawa semula ke Malaysia untuk sebuah konsert khas pada 1 Mei akan datang.
Penonton yang hadir pada malam kejadian layak menerima diskaun istimewa dengan mengemukakan bukti pembelian atau tiket konsert terdahulu.
“Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan berjanji akan menuntut keadilan demi memulihkan maruah penganjur, artis serta hak para peminat,” katanya.
#PentasRadjaWali #WaliBandMalaysia #KonsertTergendala #IsuVenue #HakPenganjur #KeadilanUntukPeminat #AATV #HiburanMalaysia #KonsertKontroversi #UndangUndangHiburan
