KUALA LUMPUR, 23 Februari 2026 – Stadium Titiwangsa secara rasmi diumumkan sebagai “Home of Sepak Takraw” susulan pencapaian cemerlang skuad negara di peringkat antarabangsa sepanjang tahun 2025.
Pengumuman itu dibuat oleh Hannah Yeoh yang memaklumkan keputusan berkenaan dicapai hasil persetujuan Jabatan Wilayah Persekutuan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut beliau, prestasi membanggakan pasukan negara – termasuk kejayaan menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia pada Mei 2025 di Stadium Titiwangsa serta meraih dua pingat emas di Sukan SEA 2025 di Bangkok – menjadi faktor utama stadium tersebut diangkat sebagai pusat rasmi pembangunan sepak takraw negara.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa sepak takraw bukan sekadar sukan tradisi, malah kini sebuah sukan kompetitif bertaraf dunia yang memerlukan sokongan berterusan, perancangan strategik serta kemudahan berkualiti,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persekutuan Sepak Takraw Malaysia atas komitmen berterusan dalam pembangunan atlet, penyertaan kejohanan antarabangsa serta pengukuhan struktur sukan sehingga Malaysia terus disegani di arena global.


Dalam usaha memperkukuh peranan Stadium Titiwangsa sebagai Home of Sepak Takraw, DBKL memperuntukkan kira-kira RM80,000 bagi kerja-kerja penambahbaikan meliputi lukisan mural dan identiti rasmi, pengecatan bahagian hadapan bangunan, penukaran papan skor kepada LED, naik taraf ruang VIP dan VIP Box, penambahbaikan surau, bilik media, bilik stor serta tandas, selain kelengkapan peralatan sepak takraw, bilik persalinan dan bilik mesyuarat.
Stadium berkenaan juga kini berfungsi sebagai pusat latihan pasukan sepak takraw Wilayah Persekutuan bagi persiapan menghadapi temasya SUKMA Ogos 2026 di Selangor.

Sebagai simbol penghargaan kepada wira negara, satu perlawanan persahabatan antara pasukan SUKMA dan pasukan Sukan SEA turut diadakan hari ini. Pada masa sama, DBKL menyampaikan sagu hati imbuhan kemenangan kepada lapan atlet (termasuk jurulatih) DBKL yang berjaya meraih satu pingat emas, dua perak dan lima gangsa di Sukan SEA 2025.
Dalam perkembangan berkaitan, Persekutuan Sepak Takraw Malaysia juga akan mempergiatkan penganjuran Klinik Sepak Takraw melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, termasuk penglibatan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC dan SJKT), sebagai sebahagian usaha meluaskan bakat akar umbi.
Langkah menjadikan Stadium Titiwangsa sebagai Home of Sepak Takraw disifatkan sebagai titik penting dalam memperkasa sukan warisan negara, sekali gus menyediakan platform latihan yang lebih sistematik, tersusun dan berfokus kepada prestasi tinggi.
#HomeOfSepakTakraw #StadiumTitiwangsa #SepakTakrawMalaysia #BanggaMalaysia #SukanWarisan #TakrawKeDunia #AtletNegara #SukanSEA2025 #WilayahPersekutuan #BeritaAATV