Oleh: Ariffaizal Mohd Nor Ariffin
Agama adalah pedoman hidup. Maka ilmuan agama adalah antara yang telah dikurniakan Allah pengetahuan mendalam berkenaan agama itu sendiri. Mereka digelar ulama
Fungsi ulama itu adalah berdakwah bersandarkan pendekatan Al Quran dan As sunnah. Menyedarkan ummah akan tuntutan serta peranan sebagai seorang muslim.
Pendekatan agama dalam berpolitik bukanlah terletak kepada hukum hakamnya sahaja, tetapi meliputi khidmat dalam masyarakat.
Ummah perlu disatukan dengan kaedah keseragaman ilmu yang sederhana mengikut penilaian tahap penerimaan dan nilai peradaban masyarakat itu sendiri.
Dalam perkara ini, PAS sebenarnya telah gagal. Agama digunakan atas kepentingan politik cetek tanpa memikirkan natijahnya kepada sistem kehidupan majmuk rakyat negara ini.
Berpolitik mengikut landasan agama itu adalah jalan yang benar, namun berpolitik mempergunakan agama itu adalah jalan yang salah. Inilah punca wujudnya fitnah terhadap islam itu sendiri.
Sejarah sudah membuktikan bahawa berlakunya perang saudara di banyak negara islam itu juga adalah berpunca dari golongan ulama.
Apabila masing-masing pihak memiliki sokongan tersendiri, maka tanpa sedar diuji keegoan diri yang sentiasa merasa diri sendiri sahaja yang betul, manakala pihak lain adalah salah.
Akhirnya golongan ulama yang menentang kerajaan mula mengeluarkan pelbagai fatwa dan dalil demi memastikan penyokongnya bangkit. Di pihak para ulama yang menyokong kerajaan pula begitu juga. Maka penyudahannya negara yang rosak. Kehidupan rakyat tidak berdosa menjadi mangsa kerakusan mereka ini.
Sebab itulah antara golongan paling awal akan soal Allah kelak adalah ulama dan umara.