Pickleball ‘Boom’ di Lembah Klang: 900 Belia Rebut Hadiah Terkumpul RM150,000

KUALA LUMPUR, 8 Februari 2026 – Sukan pickleball terus mencetus fenomena dalam kalangan anak muda apabila Majlis Belia Malaysia Wilayah Persekutuan (MBMWP) bersama YMM Cawangan Taman Midah dan Taman Connaught menganjurkan kejohanan berskala besar yang menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM150,000.

Pengerusi MBMWP, Khairul Rizam berkata, kejohanan yang bakal berlangsung pada 25 dan 26 April 2026 itu dijangka menghimpunkan kira-kira 900 peserta sepanjang dua hari pertandingan.

“Ini merupakan penganjuran pertama di peringkat belia oleh pihak kami bersama YMM Wilayah Persekutuan dan penaja utama Pickleball Battle Iseigur Cup. Sambutannya sangat menggalakkan dan kita jangka hampir 900 peserta akan menyertai kejohanan ini,” katanya semasa majlis pelancaran program tersebut.

Menurut beliau, lokasi pertandingan dipilih kerana mempunyai 19 gelanggang yang mampu menampung jumlah peserta yang ramai dalam tempoh dua hari.

“Kita perlukan fasiliti besar kerana penyertaan ramai. Mungkin selepas ini Kuala Lumpur sendiri perlu membuka lebih banyak gelanggang pickleball kerana permintaannya semakin meningkat,” ujarnya.

Kejohanan ini menawarkan dua kategori utama iaitu beginner dan intermediate, sekali gus membuka peluang kepada pemain baharu mencuba pengalaman bertanding buat kali pertama. Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM300 bagi setiap penyertaan.

Sementara itu, penganjur, Ken Chia memaklumkan bahawa sambutan awal amat positif dengan penyertaan daripada pelbagai peringkat umur.
Penaja utama, David Tan daripada Isergur Malaysia Global Trading Sdn Bhd menyifatkan pickleball sebagai sukan yang inklusif dan sesuai untuk seisi keluarga.

“Saya sendiri turun ke gelanggang dan merasai momentumnya. Pergerakannya tidak terlalu ekstrem, jadi walaupun bergerak perlahan masih boleh bermain dengan baik. Ia sesuai untuk semua peringkat umur,” katanya.

Khairul Rizam turut menegaskan bahawa pickleball bukan sekadar sukan, malah menjadi satu trend dan gaya hidup baharu dalam kalangan belia.

“Berbanding tenis atau skuasy, pickleball lebih mudah dan santai. Orang tua boleh main, kanak-kanak pun boleh. Kita mahu tarik anak muda keluar daripada terlalu leka dengan gajet dan media sosial.

“Sukan ini juga ada elemen ‘fashion’ dan gaya hidup. Kita lihat ramai anak muda tertarik kerana faktor komuniti dan trend semasa,” tambahnya.

Beliau berharap lebih ramai belia tampil menyertai kejohanan tersebut dan menjadikan pickleball sebagai alternatif gaya hidup sihat serta aktiviti sosial yang positif.

#BeritaAAC #PickleballMalaysia #BeliaAktif #SukanTrending #GayaHidupSihat #MajlisBelia #WP2026 #AnakMudaBangkit #EventSukan #RM150KChallenge

Leave a Reply