SEPANG, 23 Disember 2022 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dengan kapasiti 260 Penguat Kuasa meliputi Pejabat Negeri Shah Alam, Cawangan Petaling Jaya, Gombak, Kajang, Sepang, Kuala Kubu Bharu dan Kuala Selangor serta 67 Pegawai Pemantau Harga (PPH) komited menyelia pematuhan peniaga di Selangor menjual barangan harga terkawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2022 yang mula berkuatkuasa pada hari ini iaitu 23 Disember dan berakhir pada 27 Disember 2022 ( 5 hari berkuatkuasa).

Selaras dengan pelaksanaan hari pertama Skim ini berkuatkuasa, satu pemeriksaan dan tinjauan pematuhan SHMMP Krismas 2022 dilakukan bertempat di Pasaraya Jaya Grocer, Cyberjaya, Selangor. Pemeriksaan dijalankan secara kerjasama strategik di antara KPDN Selangor bersama Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor.

Pemeriksaan diketuai oleh YB Tuan Mohd Zawawi bin Ahmad Mughni, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, serta dihadiri bersama Tuan Mohd Zuhairi bin Mat Radey selaku Pengarah KPDN Selangor. Turut menyertai pemeriksaan Tuan Mohd Khairi bin Jamaludin, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Tuan Rosli bin Ismail, Ketua Penguat Kuasa KPDN Sepang dan Pegawai Kanan KPDN Selangor.

Tujuan pemeriksaan adalah untuk membuat tinjauan tahap kesediaan dan kerjasama pematuhan peniaga di bawah penguatkuasaan Skim ini. Pada masa yang sama, pasukan pemeriksaan berpeluang mendekati peniaga dan wujudkan libat urus serta advokasi bersama peniaga. Libat urus dan advokasi ini dapat membantu peniaga memahami dan mematuhi penguatkuasaan Skim serta perundangan yang dikuatkuasakan serta dapat mendengar reaksi balas pengguna secara real-time berhubung pelaksanaan Skim ini serta advokasi kepenggunaan juga dapat dilakukan.

Pemeriksaan seperti ini akan diadakan lagi sepanjang tempoh pelaksanaan Skim berkuatkuasa untuk membuat semakan secara berterusan bagi memantau prestasi pematuhan peniaga di peringkat runcit dan borong.

Terdapat enam (6) jenis barangan harga terkawal telah diwartakan harga maksimumnya bagi seluruh Semenanjung di bawah Skim ini seperti mana rajah berikut :

Pada masa yang sama, ayam dan telur ayam masih disambung pewartaan sebagai barangan harga terkawal dan masih berkuatkuasa sejak 12 Oktober 2022. (rujuk maklumat tambahan di Lampiran).

Pemeriksaan memfokuskan kepada pematuhan peniaga runcit dan borong terhadap penggunaan tanda harga berwarna merah jambu (pink tag) di bawah Skim ini. Pematuhan penggunaan tanda harga khas warna merah jambu wajib dipatuhi untuk kemudahan urus niaga pengguna di peringkat runcit dan borong bagi mengenal pasti jenis barang yang terlibat di bawah Skim ini . Lain-lain perkara relevan turut diperiksa seperti pematuhan penentusahan alat timbang sukat, tidak menjual melebihi harga maksimum ditetapkan dan keberadaan bekalan.

Pelaksanaan Skim ini dikuatkuasa melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan penentuan harga kawalan dilakukan di peringkat pemborongan dan peruncitan. Tindakan tegas akan diambil oleh KPDN Selangor sekiranya berlaku ketidakpatuhan di bawah Skim ini. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Hasil pemeriksaan hari ini, mendapati premis diperiksa memberi kerjasama dan berada pada tahap pematuhan yang baik. Prestasi pematuhan yang baik daripada peniaga lain berada di sekitar Selangor turut diharapkan demi manfaat bersama kepada pengguna dan peniaga.

Harapan bersama Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor dan KPDN Selangor agar pelaksanaan Skim ini dapat meringankan kos belanja pengguna di Selangor dalam tempoh musim perayaan dan peniaga pula beri kerjasama mematuhi arahan serta beretika dalam menguruskan perniagaan. Pengguna juga disarankan membuat pembelian secara terancang dan tidak mencipta suasana pembelian panik yang boleh memberi kesan kepada bekalan.

Kerjasama strategik di antara Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor dengan KPDN Selangor akan terus digiatkan untuk memastikan peranan kedua-dua pihak dapat bersama-sama mengurus ekosistem urus niaga dan mengharmonikan ekonomi Negeri Selangor.

Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor dan KPDN Selangor meminta kerjasama orang ramai untuk mempraktikkan PENGGUNA BIJAK ADU mengenai isu harga, bekalan dan salah laku mana-mana peringkat perniagaan menerusi saluran aduan rasmi seperti di bawah :

Whatsapp 019-279 4317/ 019-848 8000
Portal e-aduan.kpdnhep

Call Centre 1-800-886-800

Emel e-aduan@kpdnhep.gov.my
Ez ADU KPDNHEP

Bilik Gerakan KPDN Selangor 03-5514 4393/5518 1810/ 5512 5485

Leave a Reply