KUALA LUMPUR, 4 Januari 2023 – Merujuk pada laporan akhbar bertarikh 2 Januari 2023, negara dikejutkan dengan berita seorang remaja perempuan yang berusia 16 tahun yang mendakwa telah dirogol oleh pegawai polis ketika dipanggil untuk membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat oleh remaja tersebut.

Berhubung dengan kes ini, saya menyeru pihak kerajaan iaitu Kementerian Dalam Negeri dan juga Kementerian Undang-Undang dan Reformasi untuk mengambil tindakan sewajarnya dan juga menggesa pihak kerajaan kembali membentangkan RUU IPCMC pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula Februari ini.

RUU IPCMC bukan hanya bertujuan untuk melakukan pertuduhan dan menghukum pihak berkuasa semata-mata. Penubuhan badan yang lebih bebas, adil dan telus di bawah RUU IPCMC ini akan bantu mengembalikan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis.

Kementerian Dalam Negeri harus mencontohi langkah proaktif yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan ketulusan pegawai penguatkuasa kesihatan serta menjaga kebajikan mereka dengan melengkapi anggota-anggota ini dengan pemakaian kamera badan.

Aduan-aduan yang melibatkan kepentingan orang awam tidak boleh dibiarkan sunyi sepi tanpa khabar berita dan tiada tindakan yang diambil.

IPCMC harus dibentangkan semula di dalam Dewan Rakyat untuk penelitian lanjut daripada semua Ahli-Ahli Parlimen agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi.

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
PRESIDEN
4 JANUARI 2023

Leave a Reply