KUALA LUMPUR : Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui RISDA memperuntukkan sejumlah RM20 juta dalam usaha melakukan inisiatif menyokong dan memenuhi dasar keperluan Agromakanan Negara bagi menjamin Bekalan Makanan Negara #KeluargaMalaysia mencukupi.
Menerusi peruntukan ini, KPLB turut berhasrat menggalakkan pekebun kecil untuk meneroka sumber baharu bagi meningkatkan pendapatan serta mengurangkan kebergantungan sepenuhnya pendapatan dari sumber getah.
Menurut Datuk Sri Mahdzir Khalid, menerusi peruntukan itu, RISDA mensasarkan pengeluaran 600 ribu tan metrik jagung bijian untuk makanan ternakan dalam tempoh 10 tahun akan datang. Ia juga akan menjadi fokus RISDA dalam mengurangkan kebergantungan kepada import makanan ternakan.
Katanya ketika Sidang Media Selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri RISDA di ibu pejabat RISDA hari ini.
Turut hadir, Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.
Tambah Mahdzir lagi, projek tanaman jagung bijian itu sudah pun dilaksanakan di Perlis sejak Februari lalu melibatkan 750 ribu pokok dengan kawasan penanaman seluas 15 hektar.
Projek ini adalah dibawah pengurusan RISDA Agro Sdn. Bhd. yang dijangka menghasilkan sebanyak 82,200 kilogram jagung bijian yang akan dituai pada bulan Julai depan.
Menerusi Program Agromakanan RISDA tahun ini yang membabitkan 1,000 peserta di seluruh negara dengan maksimum bantuan RM20 ribu bagi setiap peserta.
Peserta yang terlibat juga boleh memilih untuk melaksanakan tiga skop projek iaitu tanaman jangka pendek dan jangka panjang atau aktiviti ternakan.
Projek boleh dimajukan secara berkumpulan melibatkan kerjasama Koperasi Pekebun Kecil dan syarikat di bawah Kumpulan RISDA Holdings.
“Peruntukan itu juga bagi menggalakkan pekebun kecil meneroka sumber baharu bagi meningkatkan pendapatan serta mengurangkan kebergantungan terhadap pendapatan dari sumber getah”, jelas Mahdzir.
Untuk rekod, pada tahun 2020 dan 2021 sahaja, KPLB telah pun menyalurkan peruntukkan lebih RM23 juta di mana 56 peratus peserta melaksanakan tanaman jangka pendek, 39 peratus aktiviti ternakan dan 5 peratus lagi terlibat dalam penanaman jangka panjang.
Bagi memberikan pulangan yang tinggi kepada peserta, penanaman tanaman jangka pendek ketika ini seperti cili, halia, sayuran hijau dan ternakan lembu turut menjadi fokus utama RISDA dan KPLB dengan melihat kepada permintaan pasaran Negara.
Kerjasama RISDA bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta agensi seperti Jabatan Pertanian, Veterinar, FAMA, MARDI akan memastikan pelaksanaan program agromakanan RISDA selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030.