BANGSAR – Azam tahun 2023 seharusnya menjadi tahun terbaik untuk terus bergerak ke hadapan dengan mempelajari perkara baharu dalam usaha memperbaiki dan memperkasakan diri dan generasi akan datang.
Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, usaha ini bukan sahaja dapat memberi semangat diri untuk terus maju tetapi memiliki daya juang membantu mereka yang memerlukan terutama ibu bapa yang mempunyai anak Sindrom Down, jika dilihat dalam aspek golongan itu.
Katanya, komuniti bersama ibu bapa yang mempunyai anak Sindrom Down, sekurang-kurangnya perlu sentiasa bekerjasama dengan syarikat kecil atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Ini tahun 2023, kita mesti terus ke hadapan dan mempelajari perkara baharu supaya kita sama memperbaiki dan memperkasakan diri dan membantu anak-anak.
“Dalam aspek anak-anak Sindrom Down, kita komuniti bersama dengan ibu bapa yang ada anak Sindrom Down, perkasakan anak ini.
“Tak perlu syarikat besar, usahakan sendiri supaya anak-anak ini sentiasa ada aktiviti dan tidak bosan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Pelancaran Program Amal Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) Bersama World Saree Day Malaysia (WSDM) yang disempurnakan oleh Pengarah Bkay Nair Resources (BNR), Bkay Nair.
Turut hadir, Presiden PSDM, Norhana A Bakar, dan penyumbang tabung amal PSDM.
Sementara itu, mengulas mengenai Pindaan Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008, Ras Adiba yang juga Presiden OKU Sentral berkata pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang mendapatkan maklum balas daripada OKU senior dan pihak perundangan berhubung penambahbaikan akta itu.
“Akta OKU ini tak boleh buat (pinda) dalam enam bulan, kena buat (penilaian) beberapa tahun sebelum ke pihak peguam negara untuk bubar.
“Sekarang ini, KPWKM terutama bahagian dasar JKM sedang memperketat dan memperbaiki akta itu, dengan mendapatkan maklum balas daripada OKU senior dan mereka dalam bidang perundangan.
“Supaya akta ini lebih mencengkam dan mempertahankan hak kami sebagai OKU,” katanya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, pindaan Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 dijangka dimuktamadkan menjelang Jun ini dengan memberi fokus kepada aspek pemerkasaan dan penguatkuasaan bagi menjaga hak golongan itu.
Katanya, pindaan perlu dilakukan kerana ramai yang menganggap akta sedia ada tidak mencukupi selain penguatkuasaan yang lemah.