SHAH ALAM – Sikit-sikit lama-lama jadi bukit, begitulah peribahasa Melayu lama digunakan untuk amalan menabung sejak dari kecil.
Amalan itu akhirnya membuahkan hasil lumayan bagi seorang pesara guru berumur 61 tahun, apabila warga emas itu dijulang sebagai jutawan pertama menerusi kategori Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional (BSN) bulan Januari 2023.
Beliau yang juga anak watan Song, Sarawak itu sekali gus membawa pulang ganjaran RM1 juta.
Perkara itu diumumkan oleh, Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil pada Majlis Cabutan BSN Sijil Simpanan Premium (SSP) bulan Januari pada 4 Februari 2023, di Kompleks PKNS Shah Alam.
Jay berkata, pesara guru itu menyatakan permulaan simpanannya adalah di Cawangan BSN Song yang juga satu-satunya bank di sana.
“Beliau terus menambah simpanan dari semasa ke semasa sehingga dinobatkan sebagai pemenang.
“Beliau juga berpesan untuk menasihati orang ramai supaya membuat simpanan dalam BSN SSP agar berpeluang menyertai cabutan dan memenangi pelbagai hadiah yang lumayan,” katanya.
Sementara itu, Jay berkata BSN terus menambah baik produk BSN SSP supay sentiasa kompetitif melalui penawaran jumlah hadiah dan kategori yang lebih banyak pada tahun 2023.
“Ini merupakan usaha berterusan kami dalam menggalakkan orang ramai menyimpan di samping berpeluang memenangi lebih banyak ganjaran yang ditawarkan,” katanya.
Kini, katanya, BSN telah melahirkan seramai 84 orang jutawan BSN SSP sejak ganjaran RM1 juta diperkenalkan.
“BSN juga memperkasakan rangkuman kewangan rakyat Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan perbankan yang menyeluruh.
“Jaringan perkhidmatan kami turut akan diperluaskan lagi agar lebih ramai masyarakat dapat menikmati akses perbankan inklusif seiring dengan visi kami, tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan,” tambahnya.
Katanya, jumlah hadiah BSN SSP juga turut ditambah baik yang mana pada tahun ini bernilai RM27 juta untuk lebih 18,000 pemenang termasuklah BMW 320i M sport, Perodua Myvi dan banyak lagi.