SHAH ALAM – Program “Kick Off” Menu RAHMAH Peringkat Negeri Selangor hari ini dilancarkan melibatkan dua lokasi di Shah Alam iaitu Café Central, Seksyen 14 dan Restoran Deli Thai, Seksyen 7 Shah Alam sebagai sokongan kerajaan negeri terhadap sebarang usaha dan inisiatif meringankan kos sara hidup rakyat di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang menyempurnakan program itu berkata, ia adalah inisiatif terbaharu kerajaan dalam membantu rakyat Selangor terutama golongan yang memerlukan untuk membeli makanan bermasak yang seimbang pada harga RM5.00 dan ke bawah.

Untuk rekod, “Menu Rahmah” adalah inisiatif pihak swasta (Private Driven Initiative) yang digerakkan secara sukarela dan campurtangan kerajaan dalam penetapan harga, kaedah pelaksanaan, bahan-bahan, menu, serta lauk yang mesti dijual.

Bagi premis yang telah pun menjual menu hidangan pada harga RM5 atau ke bawah, mereka boleh menjenamakan semula menu itu sebagai Menu RAHMAH.

Kerajaan Selangor amat mengalu-alukan premis yang bersedia mengurangkan harga menu sedia ada ditawarkan di premis mereka kepada harga Menu RAHMAH tanpa mengubah kuantiti dan kualiti hidangan tersebut.

Sehingga 2 Mac lalu, sejumlah 200 premis telah berdaftar di Direktori Menu RAHMAH Selangor secara sukarela manakala pihak KPDN Selangor masih menjalankan sesi libat urus (engagement) berterusan bersama 95 premis lagi yang telah memberikan maklum balas berminat menyertai program itu.

Rakyat Selangor disaran melayari portal Kementerian (platform direktori seperti pautan di bawah) bagi menyemak senarai premis berdekatan (Selangor dan seluruh negara) bagi memudahkan carian pilihan dan membuat keputusan mengunjung ke premis berdekatan dan pilihan masing-masing atau bersama keluarga.

https://menurahmah.kpdn.gov.my

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung program-program di bawah Payung RAHMAH, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905

Leave a Reply