KUALA LUMPUR – Manusia punya asa, Tuhan punya kuasa.
Begitulah kegigihan dan kecekalan manusia untuk mencapai keinginan namun aturan Tuhan Yang Maha Esa yang merancang dan menentukannya.
Perjalanan membina empayar perniagaan yang gah dan terkemuka jarang didedahkan kepada umum, sebaliknya banyak yang dilihat hasil kejayaan dan kemampuan mencapai pelbagai pengiktirafan berprestij khususnya di media sosial.
Pengasas Hijabistahub berkesempatan berkongsi liku hidup dan onak duri ketika membina perniagaan, Qaiser Holdings Sdn Bhd yang pernah jatuh di tahap paling bawah, sehingga terpaksa menebalkan muka meminta modal dan bantuan rakan dan keluarga.
Hijabistahub yang diterajui oleh pasangan suami isteri, Ahmad Syafiq Hilmi dan Nur Alwani @ Wanie Elena, kini sudah bertapak dalam negara hampir lapan tahun malah dikenali dalam kalangan selebriti dan artis tanah air kerana jenama pakaiannya kerap menjadi buah mulut peminat setiap kali menjelang lebaran.
Pengarah Hijabistahub, Ahmad Syafiq Hilmi, berkesempatan meluangkan masa menceritakan pengalaman pahit manis sehingga pernah berhutang keliling pinggang secara berterusan ketika berniaga.
“Biarpun perniagaan ketika itu menjunam, kami amat bersyukur kerana staf tidak berhenti bekerja.
“Hutang ketika itu hampir cecah RM1juta pada usia saya dan isteri berusia 20an, hutang itu tidak termasuk operasi kilang, selain berdepan defisit fiskal setiap bulan.
“Pada 2019 kami mula bangkit, minta bantuan rakan dan keluarga,” katanya.
Ahmad Syafiq Hilmi berkata, beliau terharu dengan mereka yang ikhlas dan sudi menghulurkan bantuan, kerana seperti diketahui umum bukan mudah untuk meletakkan kepercayaan paling tinggi kepada yang benar-benar layak.
“Ada kawan-kawan yang bantu membuat pinjaman bank mereka, melalui mereka untuk bantu kami.
“Pakcik kepada isteri saya, Wanie, yang bekerja sebagai nelayan, sanggup jual botnya semata-mata untuk memberi hasil jualannya kepada kami untuk dijadikan modal berjuang dalam perniagaan.
“Bukan itu sahaja, ibu kepada seorang kawan kami yang kebetulan ketika itu baru sahaja bersara dan menerima pampasan, juga sudi meminjamkan wang pampasan kepada kami,” katanya.
Meskipun sudah berada di puncak tertinggi malah pernah menjulang Malaysian 100 Top Young CEO 2022, Ahmad Syafiq dan isteri tidak pernah melupakan budi mereka yang pernah membantu, sampai bila-bila.
Ibarat hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Pelancaran Koleksi Raya ‘Hijabistahub & Soultan Royale Night’ di Hotel JW Mariott, di sini.
Pada majlis berkenaan, kira-lira 300 selebriti terkemuka dan pempengaruh media sosial hadie memberi sokongan kepada pelancaran jenama Soultan hasil kolaborasi Hijabistahub bersama pelakon tanah air, Aeril Zafrel dengan simbolik kemelayuan.
Turut menampilkan pertunjukkan fesyen antaranya pasangan selebriti Aeril Zafrel dan Wawa Zainal; Alif Aziz dan Bella Astillah; Mawar Rashid dan Raf Yaakob, Amyra Rosli dan Amar Baharin, Nisdawati dan Fauzi Nawawi, selain Iman Troye, Ryan Bakery dan Boss James.
Hadie memberikan persembahan, penyanyi Anuar Zain dan Ernie Zakri bersama pasangannya, Syamel.