Foto ihsan : Medkom

ISKANDAR PUTERI – Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dan surau dipecat jika gagal mematuhi peraturan memberi kebenaran kepada penceramah, yang gagal mempunyai tauliah di negeri ini.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan, sekiranya ada mana-mana masjid dan surau yang gagal patuhi peraturan ini, maka semua AJK masjid dan surau itu dipecat malah akan diambil tindakan.

Sultan Ibrahim menitahkan mana-mana penceramah agama yang hendak menyampaikan ceramah di Johor mestilah memiliki tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Baginda menitahkan semua AJK masjid dan surau yang menganjurkan ceramah agama perlu mendapatkan kebenaran daripada MAINJ terlebih dahulu menerusi Pejabat Kadi Daerah.

“Permohonan kebenaran itu perlu menyatakan secara terperinci tajuk ceramah serta perkara yang ingin disampaikan ketika memberi ceramah agama.

“Tindakan tegas ini bukanlah menghalang program penyebaran ilmu Islam tetapi untuk mengawal penyebaran fahaman yang menyeleweng dan terpesong daripada hukum syarak yang berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Sementara itu, baginda dalam titahnya menegaskan tindakan yang diambil itu juga adalah bagi mengawal golongan pelampau agama yang boleh mencetuskan kekeliruan kepada umat Islam dan golongan muda yang kurang berilmu.

“Sehubungan itu juga, kerajaan harus meningkat mutu pendidikan di sekolah dan pusat pengajian tinggi bagi melahirkan generasi masa depan yang tinggi ilmu pengetahuan,” titah baginda.

MAINJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan menjunjung titah Sultan Johor, memberi penegasan terhadap penceramah perlu memiliki tauliah mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri ini, dimuat naik dalam Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baru-baru ini.

Kenyataan itu menyatakan, mana-mana penganjur acara menjemput penceramah tanpa tauliah boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana dianggap bersubahat.

Pihaknya bukan sahaja mengambil tindakan terhadap individu yang didapati mengajar atau memberi syarahan agama Islam tanpa tauliah, tetapi juga kepada penganjur acara atau program berkenaan.

Penganjur acara yang menjemput penceramah tanpa tauliah MAINJ adalah dianggap melakukan kesalahan penyubahatan mengikut Seksyen 43 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid; Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Jamaluddin A Hamid.

Dalam kenyataan sama, mereka yang didapati mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri ini tanpa tauliah adalah melakukan kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 dan Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.