KAJANG – Pengarah filem, Khairi Anwar dan pelakon, Arjun Thanaraju terkejut apabila kereta masing-masing disimbah cat merah, hitam dan asid susulan filem kontroversi, Mentega Terbang.

Khairi Anwar mendedahkan, dia menerima nota berbaur ugutan bunuh, yang ditinggalkan di rumahnya.

Antara kandungan nota ditinggalkan berbunyi: “Islam pasti bangkit! #MentegaTerbang”, “Mentega Terbang, jangan cabar Islam”, “Ingat family selamat Mentega Terbang?”, “Tengok lu punya langsi Mentega Terbang”, dan “Lu dengan family mesti mati”.

Khairi adalah pengarah Mentega Terbang yang mengundang kontroversi baru-baru ini selepas dilihat sesetengah pihak sebagai menghina Islam.

Bagaimanapun, Khairi ketika dipetik Malaysiakini tidak dapat memastikan sama ada Arjun turut menerima ugutan sama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Zaid Hassan ketika dihubungi, mengesahkan Khairi ada membuat laporan polis pagi ini.

Serangan itu sehari selepas polis mengambil keterangan Khairi dan enam pelakon dalam filem berkenaan.

Mentega Terbang disiarkan di platform penstriman Viu dan mengisahkan tentang Aishah, remaja berusia 15 tahun yang bergelut dengan persoalan kehidupan selepas mati dalam pelbagai agama, setelah ibunya didiagnos menghidap penyakit kritikal.

Sejumlah pihak menyifatkan filem itu sebagai menghina Islam kerana memaparkan seorang yang beragama Islam cuba mendalami agama lain.

Filem itu kini disiasat mengikut Seksyen 289A dan 505(b) Kanun Keseksaan, Serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan, terdapat pertentangan jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ada memberi ulasan tentang filem berkenaan di laman blognya selepas menonton filem itu, namun berhasrat menemui pengarah filem berkenaan.

Sebelum ini, pihak yang mewakili filem ‘Mentega Terbang’ menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mereka cuba menyebarkan ajaran sesat yang berunsur menghina agama Islam.

Leave a Reply